Segerakan bantuan, Perak cadang tubuh tabung bencana peladang

Mohd Zolkafly dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Selasa.
Mohd Zolkafly dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bercadang menubuhkan Tabung Bencana Peladang bagi menyediakan bantuan segera kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat bencana alam serta ketidaktentuan pasaran.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, cadangan itu adalah langkah strategik bagi melindungi golongan pengeluar makanan yang menjadi tulang belakang sektor agromakanan negeri.

Menurutnya, setakat ini, Perak belum mempunyai mekanisme tabung bencana sendiri dan bersedia mengkaji secara menyeluruh dari segi dasar, kemampuan kewangan dan keberkesanan pelaksanaan.

"Tabung seumpamanya telah diwujudkan di peringkat Persekutuan pada 2025 dengan peruntukan RM25 juta, di mana bantuan diberikan secara one-off dalam bentuk input atau barangan untuk membantu pengeluar makanan memulihkan aktiviti pertanian, bukan sebagai pampasan," katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 di sini pada Selasa.

Mohd Zolkafly turut menekankan usaha kerajaan negeri dalam menjamin sekuriti makanan Perak melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 dan Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Katanya, antara inisiatif utama ialah Hab Daging Halal Antarabangsa, Perak International Agro Fest, Hab Agropelancongan dan Akademi Sekuriti Makanan yang menumpu kepada tiga bidang utama iaitu Sejahtera Pertanian, Sejahtera Perikanan dan Sejahtera Penternakan.

"Setakat ini, sebanyak 42 projek telah didaftarkan dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 dengan 14 daripadanya projek siap.

"Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) menerusi projek utamanya membangunkan infrastruktur padi yang memberi manfaat kepada lebih 300 usahawan padi, selain pembangunan benih bawang dengan kerjasama MARDI, serta projek ternakan ikan air tawar dan marin," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, kerajaan negeri memberi penekanan tinggi penggunaan teknologi moden dalam pertanian dan penternakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Perak SADC telahpun melaksanakan inisiatif sokongan antaranya melalui pinjaman tanpa faedah untuk pembelian jentera, dron, sistem fertigasi, hidroponik dan akuaponik.

"Program Urban Farming turut digalakkan untuk meningkatkan produktiviti petani kecil dan Sektor Sumber Rantai (SSR) negeri," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!