[VIDEO] Pegawai SPRM pecah masuk rumah, gari Albert Tei - Peguam

SHAH ALAM - Seorang lagi peguam mewakili Albert Tei mendakwa beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memecah masuk rumah ahli perniagaan itu secara paksa dan membawanya keluar dalam keadaan tangan bergari.
Zaid Malek mendakwa, beliau juga dihalang daripada bertemu dengan anak guamnya oleh pegawai SPRM dan anggota polis sejurus tiba di lokasi kejadian.
Menurut Zaid, Albert dikelilingi pegawai bersenjata yang memakai balaklava dan situasi memperlihatkan seolah-olah mereka sedang menangkap seorang pengganas.
"Para pegawai juga enggan memperkenalkan diri atau menyatakan ke mana Albert akan dibawa. Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka polis atau pegawai SPRM.
"Kegagalan memperkenalkan diri adalah tindakan angkuh dan menyalahi undang-undang. Mereka hanya bercakap dengan saya selepas saya mengambil gambar kejadian.
"Mereka juga secara tidak sah meminta nak ambil telefon saya untuk melihat gambar-gambar yang diambil," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zaid berpandangan, tindakan dibuat pihak berkuasa itu merupakan pelanggaran hak perlembagaan anak guamnya terhadap proses undang-undang yang sewajarnya.
"Hak (Albert) untuk mendapatkan peguam juga dinafikan. Amat mengejutkan bahawa seorang pemberi maklumat atau pelapor rasuah ditangkap.
"Tiada tindakan sebegitu diambil terhadap individu yang dilaporkannya iaitu bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
"Adakah ini siasatan yang adil dan saksama sepertimana dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pentas ceramah (semalam)?" soalnya lagi.
Pada pagi Jumaat, SPRM menyerbu kediaman Albert di Puchong, Selangor menggunakan waran.
Peguam mewakili Albert, Mahajoth Singh menyifatkan tindakan itu sebagai satu pencerobohan kerana tarikh untuk merekodkan keterangan Albert telah ditetapkan pada Isnin depan.
Albert yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, baru-baru ini mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Beliau juga telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp berserta resit untuk menguatkan dakwaannya.
Shamsul Iskandar pada Selasa meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada PM dengan mendakwa terdapat percubaan menyerangnya untuk merosakkan imej Kerajaan Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berpendapat bahawa keputusan Shamsul Iskandar meletakkan jawatan susulan terkait dakwaan rasuah, membuktikan bahawa Kerajaan Madani mengamalkan tahap integriti yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

