Suri rumah jual nasi ayam RM4 niat bantu golongan susah

Pekerja gerai jualan nasi ayam, Shazilah Samad, 38 menunjukkan nasi ayam yang dijual pada harga RM4 di Kampung Kubang Badak, Kuala Nerus.
Pekerja gerai jualan nasi ayam, Shazilah Samad, 38 menunjukkan nasi ayam yang dijual pada harga RM4 di Kampung Kubang Badak, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS – Walaupun berdepan kos bahan mentah yang tidak menentu, seorang suri rumah di Kampung Padang Nenas di sini masih kekal menjual nasi ayam pada harga RM4 bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Roslinda Ibrahim, 44, berkata, dia mula berniaga makanan itu dengan harga RM3.50 sebungkus pada 2023 sebelum menaikkannya kepada RM4 pada 2024 selepas mengambil kira kenaikan harga beras dan bahan mentah.

“Pada awalnya, ada pelanggan kata harga RM3.50 tidak berbaloi sebab kos bahan makin naik. Selepas harga beras meningkat, saya terpaksa juga menaikkan nasi ayam ini 50 sen.

“Setakat ini, saya masih kekalkan RM4 walaupun keuntungan diperoleh tidak begitu banyak.

“Cukuplah dapat untung sedikit untuk sara hidup sebab tujuan saya berniaga pun nak bantu orang yang tak mampu termasuk pelajar,” katanya ketika ditemui di gerai jualan di Kampung Kubang Badak di sini pada Selasa.

Menurutnya, dalam sehari dia menggunakan kira-kira 18 hingga 20 ekor ayam seberat kira-kira 1.5 kilogram ke bawah bagi setiap seekor.

“Setiap hari saiz ayam tidak menentu bergantung kepada saiz ayam yang diperoleh. Harga bahan asas utama, ayam, juga selalu turun naik antara RM8 hingga RM9 sekilogram.

“Bekalan ayam pun bergantung kepada stok. Saya biasa ambil dari pasar raya atau kedai pemborong di Batu Enam, Manir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian ayam disediakan setiap hari bagi menampung permintaan terhadap nasi ayam RM4 yang dijual di dua cawangan di daerah Kuala Nerus.
Sebahagian ayam disediakan setiap hari bagi menampung permintaan terhadap nasi ayam RM4 yang dijual di dua cawangan di daerah Kuala Nerus.

Ibu kepada lima anak itu berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan anggaran 180 bungkus terjual setiap hari.

“Jika mula berniaga pada 11 pagi, kebiasaannya nasi ayam habis sekitar jam 1 tengah hari, tetapi ada masa tertentu jualan sehingga pukul 4.30 petang.

“Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pun selalu buat tempahan. Ada yang pesan 100 hingga 200 bungkus setiap minggu untuk program, jamuan atau majlis tahlil,” katanya.

Roslinda yang mendapat sokongan penuh suami untuk berniaga nasi ayam berkata, pada asalnya dia hanya berniaga untuk mengisi masa lapang kerana minat memasak.

“Saya sebenarnya suka memasak dan suka lihat orang menikmati masakan saya. Jadi daripada situ saya mula terfikir untuk menjual nasi ayam pada harga murah dan berpatutan.

“Pada waktu malam saya akan menyiapkan bahan masakan sebelum bangun pada jam 5 pagi untuk mula memasak.

“Anak sulung yang berumur 28 tahun turut membantu saya. Nasi ayam yang siap dimasak akan dijual di gerai ini dan sebuah lagi gerai di Gong Badak,” katanya.

Mengulas mengenai harga RM4 yang ditawarkan, Roslinda mengakui dia tidak pasti sampai bila harga itu dapat dikekalkan kerana bergantung kepada kos bahan mentah di pasaran.

“Setakat ini saya masih mampu bertahan dengan harga RM4. Kalau harga bahan mentah naik mendadak sangat, mungkin saya terpaksa juga naik harga.

“Tetapi buat masa ini saya masih cuba bertahan dengan harga RM4,” katanya.

Ringkasan AI

  • Walaupun kos bahan mentah tidak menentu, Roslinda Ibrahim di Kampung Padang Nenas menjual nasi ayam pada harga RM4 untuk membantu golongan kurang berkemampuan Roslinda menaikkan harga nasi ayam dari RM3.50 ke RM4 pada 2024 setelah kenaikan harga beras dan bahan mentah Dia menggunakan kira-kira 18 hingga 20 ekor ayam sehari dan harga ayam turun naik antara RM8 hingga RM9 sekilogram Sambutan pelanggan sangat menggalakkan dengan anggaran 180 bungkus nasi ayam terjual setiap hari Roslinda mendapat sokongan penuh dari suami dan anak sulungnya dalam berniaga nasi ayam, berawal dari minat memasak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!