Suri rumah, tukang jahit jadi bidan terjun sambut kelahiran bayi tepi jalan

Kerjasama pengguna jalan raya membantu seorang wanita melahirkan bayi di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia, Ahad lalu.
Kerjasama pengguna jalan raya membantu seorang wanita melahirkan bayi di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia, Ahad lalu.
A
A
A

PASIR GUDANG – “Saya bersyukur kerana dapat membantu bayi tersebut lahir dengan selamat.”

Itu reaksi seorang suri rumah, Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, apabila dia bersama seorang lagi wanita, M Bhavani Thevi, 34, menyambut kelahiran seorang bayi lelaki di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia di sini Ahad lalu.

Menurutnya, pengalaman itu pasti tidak akan dilupakan seumur hidup kerana ia merupakan kali pertama dia menyambut kelahiran bayi di lokasi sedemikian.

Bagaimanapun, dia turut berterima kasih kepada Bhavani Thevi yang sama-sama membantunya memastikan proses kelahiran bayi berkenaan berjalan lancar.

“Saya mula-mula nampak seorang lelaki dan seorang wanita berbaju hitam. Mereka memberitahu bayi sudah separuh keluar, tetapi tiada siapa berani menyambutnya kerana bimbang keselamatan bayi.

“Kemudian seorang wanita India bersama suaminya datang membantu, namun ibu berkenaan masih dalam keadaan meneran, dan waktu itu pula hujan.

“Masa itu jalan agak sesak kerana ramai yang berhenti, tetapi yang turun kebanyakannya lelaki. Perempuan mungkin bimbang dan takut, tambahan pula apabila nampak darah sudah banyak keluar,” katanya.

Insiden berkenaan kemudiannya tular di aplikasi TikTok sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Tambah Syarifah Munawwarah, selepas bayi lelaki itu dilahirkan, dia cuba sedaya upaya memastikan wanita terbabit tidak pengsan sehingga ambulans tiba di lokasi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika itu orang ramai juga berusaha melindungi aurat wanita berkenaan menggunakan kain dan payung, namun keadaan jalan yang sesak menyebabkan bantuan perubatan hanya tiba hampir setengah jam kemudian.

“Masa itu bayi sudah keluar sepenuhnya bersama uri. Saya duduk bersila di hadapan wanita itu, membantu mengawal keadaan sambil darah membasahi pakaian saya.

“Kami juga terpaksa mengikat tali pusat bayi dengan tali kasut bagi mengelakkan pendarahan berlebihan.

“Apa yang saya ingat, bayi itu menangis sebaik dilahirkan dan saya sempat menasihatkan ibu bayi supaya tidak pengsan kerana bimbang nyawanya terancam. Apa pun, syukur kedua-duanya selamat dan kemudiannya dibawa ke hospital oleh ambulans,” katanya.

Syarifah Munawwarah turut menyatakan hasrat untuk bertemu semula dengan bayi dan kedua ibu bapanya, namun dia dimaklumkan bahawa mereka telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital.

“Rasanya, situasi tersebut merupakan pengalaman pertama buat saya dan semua yang berada di lokasi, namun rasa tanggungjawab dan naluri kemanusiaan mengatasi rasa takut ketika itu.

“Lega rasanya dapat membantu menyelamatkan nyawa ibu dan bayi, dan saya berharap dapat berjumpa semula dengan mereka suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Bhavani Thevi yang bekerja sebagai tukang jahit berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2 petang Ahad lalu ketika dia bersama suami, Y Yugadevan, 34, dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Bukit Dahlia ke rumah bapa mentua di Taman Mawar.

Bagaimanapun, suaminya terlihat seorang wanita sarat mengandung turun daripada motosikal di laluan bertentangan dan duduk di tepi jalan berhampiran persimpangan Taman Bukit Dahlia.

“Bila nampak keadaan itu, saya dan suami serta seorang lagi wanita dalam lingkungan usia 50-an menghampirinya sebelum mendapati wanita berusia 30-an itu mengalami sakit kontraksi hendak bersalin.

“Kami segera menghubungi talian kecemasan. Namun, wanita berkenaan memberitahu semakin sakit dan bayinya hampir keluar.

“Ketika itu saya dihubungi seorang lelaki dipercayai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi panduan sementara ambulans tiba. Dia minta saya supaya tidak panik dan menenangkan ibu yang mengandung anak sulung itu supaya proses bersalin lancar,” katanya.

Petugas kesihatan tiba untuk membantu ibu berkenaan.
Petugas kesihatan tiba untuk membantu ibu berkenaan.

Bhavani Thevi berkata, walaupun tiada latar belakang perubatan, dia bersama beberapa wanita menjadi bidan ‘terjun’ demi menyelamatkan nyawa ibu dan bayi tersebut.

Katanya, suami serta seorang pemandu e-hailing turut membantu mendapatkan kain dan payung daripada pengguna jalan raya bagi memastikan aurat dan maruah ibu berkenaan terjaga.

“Saya juga menghubungi ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan memandangkan beberapa pengguna jalan raya enggan membantu.

“Saya menadah tangan bagi menyambut bayi kerana tempat wanita itu baring adalah di atas jalan tar dan kain tidak mencukupi untuk dialas.

“Akhirnya, bayi lelaki itu lahir dengan sempurna dan sepanjang proses, kami diberi panduan oleh kakitangan KKM supaya ibu tidak pengsan selain memastikan bayi dalam keadaan baik,” katanya.

Menurutnya, mereka kini mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi berkongsi pengalaman masing-masing dan berharap persahabatan yang terjalin dalam situasi tidak diduga itu akan kekal selamanya.

“Saya tidak dapat melupakan kesemua individu yang membantu ibu mengandung itu. Pengalaman ini amat berharga kerana dapat mengenali insan-insan hebat.

“Saya juga berharap ibu dan bayi dalam keadaan sihat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!