Suri rumah didenda RM1,000 pukul lelaki selepas burukkan nama di TikTok

PETALING JAYA – Seorang suri rumah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana memukul seorang lelaki menggunakan penyapu, selepas mangsa dikatakan memburukkan namanya dalam siaran langsung di aplikasi TikTok, bulan lalu.
K Mahaletchimy, 50, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul K Dinakaran, 21, di lengan, menggunakan alat pembersihan itu di pondok pengawal sebuah sekolah di Bandar Puchong Jaya, Puchong di sini pada jam 7.30 malam, 5 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tertuduh ditangkap di tepi jalan sekitar Kinrara pada 30 Julai.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd Muqri Mohd Khairi yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar minimum.
“Dia perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

