Kepulan awan luar biasa di Lembah Klang

Fenomena kepulan awan luar biasa yang kelihatan menebal di langit sekitar Kepong
Fenomena kepulan awan luar biasa yang kelihatan menebal di langit sekitar Kepong
A
A
A

 

KUALA LUMPUR – Fenomena kepulan awan luar biasa yang kelihatan menebal di langit sekitar Kepong dan Batu Caves di sini lewat petang tadi mencuri perhatian penduduk sebelum hujan lebat melanda kawasan terbabit.

Netizen di media sosial berkongsi visual awan bergumpal pekat dan berwarna gelap yang bergerak cepat ke arah kawasan perumahan, dipercayai menandakan pembentukan awan ribut petir jenis cumulonimbus yang sering dikaitkan dengan hujan lebat berskala besar.

Tidak lama selepas itu, hujan lebat disertai kilat dan guruh kuat dilaporkan berlaku serentak di beberapa lokasi seperti Kepong, Batu Caves, Gombak, Kajang, Bangsar dan Petaling Jaya.

Penduduk melaporkan penglihatan jarak jauh berkurangan dan keadaan gelap seolah-olah menjelang malam walaupun masih petang.

Di media sosial juga, ramai menyifatkan kepulan awan yang terbentuk itu 'luar biasa', 'menakutkan' dan 'paling gelap' berbanding kebiasaan, manakala sebahagian pengguna berkongsi rasa bimbang apabila hujan berterusan dan longkang beberapa kawasan mula melimpah.

Seorang pengguna, Nor Musliha, memaklumkan kawasan Kajang turut mengalami hujan lebat bersama kilat dan guruh.

Seorang lagi pengguna dengan nama Nasi Putih Kosong Enjoyer pula berkata, hujan bermula sejak jam 4 petang ketika dalam perjalanan dari Gombak ke Petaling Jaya.

“Memang lebat kilat sejak 4 petang. Nak Maghrib pun masih lebat,” katanya di ruangan komen Facebook warga Wilayah pada Khamis petang.

Artikel Berkaitan:

Di Bangsar, pengguna ZiZie AdRiana berkongsi bahawa hujan turun dengan sangat lebat tetapi menyifatkannya sebagai rahmat yang menyejukkan selepas cuaca panas sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, ada penduduk yang meluahkan rasa bimbang. Suzana Salleh melaporkan longkang besar berhampiran rumahnya melimpah buat pertama kali.

“Sangat lebat... Cuak dah. Air melimpah, tak pernah berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa pengguna turut memohon perlindungan dan keselamatan susulan fenomena hujan lebat di banyak lokasi serentak.

Seorang pengguna, PrincessMama Art, berdoa agar masyarakat dijauhkan daripada sebarang bencana.

Fenomena awan tebal sedemikian lazimnya berlaku apabila udara lembap dan panas naik ke atmosfera lalu menghasilkan awan ribut yang mampu membawa hujan lebat berserta angin kencang.

Orang ramai dinasihatkan terus mengikuti perkembangan dan amaran rasmi MetMalaysia bagi risiko ribut petir dan banjir kilat di kawasan rendah.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!