Majlis Peguam kritik tindakan SPRM panggil peguam

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil seorang peguam yang mewakili individu dalam siasatan kes dilihat berpotensi menjejaskan integriti keistimewaan profesional pengamal undang-undang.
Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, keistimewaan itu merupakan antara aspek penting dalam pelaksanaan sistem keadilan yang berkesan di negara ini.
“Tindakan SPRM amat membimbangkan kerana ia memberi isyarat kepada pencerobohan terhadap hak-hak yang menjadi tunjang kepada pentadbiran keadilan.
“Majlis Peguam Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkini SPRM yang jelas bertentangan dengan Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan Lawyers for Liberty (LFL) mengecam tindakan SPRM yang mengeluarkan notis untuk memanggil peguam Mahajoth Singh bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei.
Ujar Mohamad Ezri, peruntukan dalam Seksyen 46 Akta SPRM secara jelas menyatakan bahawa pegawai penguat kuasa tidak boleh memaksa pengeluaran bahan yang mempunyai keistimewaan, memeriksa atau membaca sebarang dokumen sebaik sahaja keistimewaan itu ditegaskan.
Menurutnya, pegawai penguatkuasa juga tidak boleh meneruskan tindakan tanpa terlebih dahulu memperoleh penentuan daripada Mahkamah Tinggi sekiranya kewujudan keistimewaan tersebut dipertikaikan.
“Seksyen 46 Akta SPRM bertindak sebagai benteng statutori yang melindungi kerahsiaan nasihat guaman yang penting kepada pentadbiran keadilan yang sewajarnya.
“Keistimewaan tidak boleh dianggap diketepikan hanya kerana satu siasatan sedang berjalan.
“Sebarang usaha untuk memintas perlindungan ini adalah bertentangan dengan hasrat jelas Parlimen dan merosakkan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.
Katanya, keistimewaan profesional guaman membolehkan klien bercakap secara terbuka dengan peguam mereka dan mendedahkan maklumat sensitif supaya nasihat guaman yang sewajarnya dapat diberikan.
“Jika keistimewaan itu terhakis, keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan profesion guaman pasti akan merosot.
“Hakikat bahawa permintaan itu datang daripada pihak berkuasa penguat kuasa tidak sama sekali mengurangkan atau mengubah sifat keistimewaan tersebut. Prinsip ini telah disahkan dengan tegas oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Chong Kean lwn Yeoh Tai Chuan & Anor,” kata beliau.
Ringkasan AI
- SPRM memanggil peguam dalam siasatan kes menjejaskan integriti keistimewaan profesional pengamal undang-undang
- Keistimewaan profesional merupakan aspek penting untuk sistem keadilan yang berkesan di Malaysia
- Tindakan SPRM dilihat sebagai pencerobohan terhadap hak-hak pentadbiran keadilan
- Seksyen 46 Akta SPRM melindungi keistimewaan nasihat guaman, melarang penguasa memaksa pengeluaran bahan yang mempunyai keistimewaan
- Keistimewaan profesional guaman penting untuk keyakinan awam terhadap sistem keadilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

