Aktiviti songsang: Jawi panggil seorang individu bantu siasatan - Menteri Agama

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah memanggil seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes penahanan sekumpulan lelaki membabitkan aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, individu berkenaan telah hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi untuk diambil keterangan dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Rakaman percakapan tersebut dijalankan berdasarkan kepada Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Akta 560 1997.

“Orang Yang Disyaki (OYDS) telah hadir ke Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Jawi dan memberikan kerjasama yang baik ketika sesi rakaman percakapan diadakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur telah menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus pada Ahad berkata, sebanyak 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan di kawasan Chow Kit dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka.

Ujar Mohd Na’im, rakaman percakapan saksi akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengumpulkan maklumat tambahan untuk melengkapkan keterangan siasatan.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak sekali-kali memandang remeh terhadap gejala keruntuhan moral ini.

“Isu ini jika dibiarkan mampu menghancurkan jati diri generasi akan datang serta mencemarkan maruah negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, institusi dakwah perlu memperhebatkan usaha penerangan mengenai kefahaman Islam yang murni kepada masyarakat di lapangan.

“Semoga ALLAH SWT memelihara kita daripada segala bentuk kerosakan akhlak dan mengurniakan taufik untuk kembali kepada fitrah dan jalan yang benar,” kata beliau.

Ringkasan AI

  • Jawi telah memanggil individu disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di kelab kesihatan di Kuala Lumpur
  • Individu tersebut memberikan kerjasama baik semasa sesi rakaman percakapan di Bahagian Penguatkuasaan Jawi
  • Rakaman percakapan dijalankan berdasarkan Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah
  • Media melaporkan pusat spa dan kesihatan di Chow Kit sebagai lokasi aktiviti tidak bermoral golongan lelaki songsang
  • Menteri menggesa institusi dakwah memperhebatkan usaha penerangan mengenai Islam murni untuk menghindari kerosakan akhlak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!