SPRM nafi dakwaan LFL, tegas panggil peguam ikut undang-undang

SPRM tolak dakwaan LFL berhubung pemanggilan peguam Mahajoth Singh dalam siasatan kes Albert Tei. Foto hiasan
SPRM tolak dakwaan LFL berhubung pemanggilan peguam Mahajoth Singh dalam siasatan kes Albert Tei. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) bahawa tindakan memanggil seorang peguam dalam siasatan kes melibatkan Albert Tei Jiann Cheing adalah tidak wajar.

SPRM dalam kenyataannya menegaskan langkah itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 yang membolehkan mana-mana individu dipanggil untuk hadir serta mengemukakan dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan.

Agensi itu juga menolak dakwaan bahawa pengamal undang-undang dikecualikan daripada proses tersebut, sambil menyatakan peguam Mahajoth Singh mempunyai kewajipan undang-undang untuk menyerahkan bahan bukti seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 30(3).

Menurut SPRM, keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan dan merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

"Keistimewaan komunikasi peguam dan anak guam hanya meliputi nasihat undang-undang yang sulit dan tidak terpakai kepada dokumen atau bahan lain, termasuk jika peguam merupakan saksi material.

"Dakwaan intimidasi itu tidak berasas, notis tersebut adalah proses statutori biasa dan tidak menghalang peguam mewakili anak guam mereka," katanya.

SPRM menambah, memanggil mana-mana individu yang mempunyai maklumat relevan merupakan prosedur standard dalam siasatan.

"Mengenai isu akses peguam kepada tahanan, sebarang sekatan sementara adalah mengikut Seksyen 28A(8) Kanun Tatacara Jenayah serta keperluan operasi bagi menjaga integriti siasatan.

“Memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

SPRM menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan tugas secara berkecuali, profesional dan berpandukan undang-undang sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan Lawyers for Liberty (LFL) mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan notis untuk memanggil peguam Mahajoth Singh bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei.

Ringkasan AI

  • SPRM menolak dakwaan LFL tentang ketidakwajaran memanggil peguam dalam siasatan
  • Langkah memanggil individu untuk siasatan dibuat mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009
  • Peguam Mahajoth Singh perlu menyerahkan bahan bukti mengikut peruntukan undang-undang
  • Keistimewaan komunikasi peguam dan anak guam tidak meliputi dokumen atau bahan bukti lain
  • Memutarbelitkan prosedur sah sebagai tindakan tanpa undang-undang adalah tidak bertanggungjawab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!