Kelibat pak belang gemparkan penduduk

KULIM - Penduduk Kampung Selarong Panjang di sini terkejut selepas khabar angin mengenai kelibat seekor harimau belang yang dikatakan melintas kawasan perkampungan itu tular melalui aplikasi media sosial, pada Isnin.
Penduduk, Aleayasak Md Disa, 43, berkata, selama menetap di perkampungan tersebut, belum pernah terdengar insiden membabitkan haiwan mamalia itu muncul.
Menurutnya, walaupun kesahihan mengenai perkara tersebut belum dapat dipastikan, dakwaan itu sudah cukup membimbangkan penduduk kampung.
"Kalau tanya...kami tak nampak, hanya berdasarkan WhatsApp tu saja. Betul kot, tak kan depa nak reka cerita," katanya.
Aleayasak berkata, berdasarkan maklumat tular, seekor harimau belang dikatakan melintas kawasan itu menuju ke ladang kelapa sawit sekitar jam 2 pagi Isnin.
Katanya, berpandukan kiriman suara pengguna jalan raya yang tidak dikenali, haiwan berkenaan dipercayai datang dari arah Hutan Ulu Paip sebelum melintas jalan di kampung tersebut.
"Sebelum ini, pernah dengar orang bercerita tentang penemuan harimau kumbang di sekitar situ, tapi kisah itu sudah terlalu lama," katanya.

Sementara itu, kakaknya, Rohaya, 63, berkata, kelibat pak belang yang muncul di kawasan perkampungan mereka, amat menggerunkan.
"Tak taulah kisah betul atau tak, kalau betul memang takutlah. Kawasan ini walaupun ada rumah penduduk, tapi Jalan Mahang-Kulim ini gelap," katanya.
Rohaya berharap perkara itu diberi perhatian pihak berkenaan dengan mempertingkatkan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Bagi Siti Hajar Roslin, 29, kelibat pak belang hanya diketahui setelah WhatsApp mengenai insiden itu tersebar.
"Kami pun tak tahu siapa yang jumpa, risaulah sebab ada anak-anak, bimbang jadi apa-apa. Tak ada penduduk yang nampak, cuma tahu tengok dalam WhatsApp," katanya.
Sinar Harian pada Jun lalu pernah melaporkan kebimbangan penduduk Kampung Ulu Dingin, Mahang yang berjarak kira-kira 15 kilometer, mengenai kemunculan harimau belang yang didakwa mengancam keselamatan penduduk.
Penghulu Mukim Mahang, Mohd Naim Zamhuri Zainul Abidin dilaporkan berkata, sepanjang 2025, empat ekor lembu milik penduduk terkorban dipercayai diserang harimau.
Bagaimanapun katanya, kejadian itu masih terkawal memandangkan insiden terbabit berlaku dalam kawasan ladang, jauh dari perkampungan penduduk serta berjarak kira-kira 10 kilometer dari pekan Mahang.
Menurut beliau, perangkap telah dipasang pihak berkuasa di Kampung Ulu Dingin dan Ulu Mahang, begitu juga dengan alat kamera pemantau bagi mengawasi pergerakan haiwan liar tersebut serta menempatkan renjer komuniti sebagai pengawasan di tempat yang dilaporkan.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Selarong Panjang terkejut dengan khabar angin harimau belang yang melintas kawasan perkampungan mereka
- Dakwaan tentang kelibat harimau belum dapat dipastikan kesahihannya tetapi sudah mencetuskan kebimbangan
- Kelibat harimau belang dilaporkan menuju ke ladang kelapa sawit berdasarkan maklumat tular dan kiriman suara
- Walaupun tiada penduduk yang menyaksikan secara langsung, cerita tentang harimau tersebut tersebar melalui WhatsApp
- Penduduk berharap pihak berkenaan mempertingkatkan aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

