Kerajaan umum bantuan tunai khas kepada golongan B40, M40

Muhyiddin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra hari ini.
 Foto: Bernama
Muhyiddin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra hari ini.
 Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional secara 'one-off' atau sekali beri melibatkan peruntukan sebanyak RM10 bilion kepada golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan tersebut termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

"Saya faham bahawa dalam keadaan bencana seperti yang kita sedang hadapi ini, sebahagian besar daripada saudara-saudari terjejas dari segi sumber pendapatan.

"Untuk meringankan beban anda, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang disiarkan secara langsung di sini hari ini.

Berikut adalah jumlah bayaran yang akan dibuat:

Pertama: RM1,600 kepada hampir empat juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

Kedua: RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.

Artikel Berkaitan:

Ketiga: RM800 kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.

Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.