Kerajaan benar penerbangan sewa khas bawa pelancong ke Malaysia

Anwar bersama King Sing melawat gerai makanan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pelancongan di Putrajaya pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar bersama King Sing melawat gerai makanan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pelancongan di Putrajaya pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersedia memberi kelulusan segera untuk perkhidmatan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik kedatangan pelancong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini pada Isnin, Anwar berkata, ia selaras dengan peranan kerajaan sebagai pemudah cara dalam urusan MOTAC untuk menarik kedatangan pelancong ke negara ini.

"Jadi soal soal teknikal dia (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing) sudah minta. Soal visa semua saya sudah bincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

"Kalau peringkat awal ini, yang kita boleh segerakan ialah penerbangan sewa khas," katanya.

Pada Februari lepas, King Sing menerusi hantaran di laman Facebook mencadangkan syarikat penerbangan tempatan untuk membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik dan memudahkan kedatangan pelancong ke negara ini.

Menyifatkan industri pelancongan sebagai penjana pendapatan utama negara, Anwar berkata, kerajaan akan memberi pertimbangan kepada setiap strategi yang dicadangkan MOTAC.

"Apa sahaja tindakan yang sesuai itu, harus kita beri pertimbangan...boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, King Sing berkata, untuk suku pertama tahun ini, seramai 4.38 juta pelancong luar telah memasuki negara dan daripada jumlah tersebut, 178,150 merupakan pelancong dari China. - Bernama