PM umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat RM250 bilion

Muhyiddin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Bernama
Muhyiddin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Jumlah itu termasuk suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, yang turut merangkumi RM20 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2.0 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Muhyiddin dalam ucapan beliau berkata, keutamaan kerajaan waktu ini adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, Pakej Prihatin ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh semua rakyat.

Khusus untuk membantu PKS termasuk usahawan mikro, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion yang merangkumi lima inisiatif utama merangkumi penambahan dana, jaminan kredit hingga pembiayaan perniagaan.

Perdana Menteri berkata, dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS akan ditambah sebanyak RM3 bilion menjadikan jumlah keseluruhannya RM5.0 bilion dengan kadar faedah bagi keseluruhan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus.

Saiz dana di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi pula akan ditingkatkan kepada RM6.8 bilion daripada RM1.0 bilion bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Artikel Berkaitan:

Selain itu dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah turut disediakan.

Menurutnya, inisiatif ini terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, pengendali bas dan teksi, industri kreatif serta peniaga dalam talian.

PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) pula akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5.0 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga prihatin dengan nasib pemilik syarikat yang mengalami masalah aliran tunai.

Bagi menangani masalah ini, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah antaranya KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.

Pengecualian pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020 juga akan diperkenalkan dan kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020.

“Ini adalah tambahan kepada langkah yang diumumkan terdahulu di mana Kerajaan telah memberi penangguhan bayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan selama enam bulan bermula 1 April 2020.

“Bagi sektor lain yang turut terkesan, mereka dibenarkan untuk meminda jumlah cukai pendapatan yang dikenakan pada bulan ketiga, keenam dan kesembilan ansuran dalam tempoh asas perniagaan,” kata Perdana Menteri. - Bernama