Covid-19: AirAsia dijangka rugi lebih RM1.1 bilion

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Affin Hwang Capital menjangkakan AirAsia Group Bhd akan melaporkan kerugian melebihi RM1.1 bilion pada 2020, selepas syarikat penerbangan itu memutuskan untuk menghentikan sementara operasinya berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Baru-baru ini, AirAsia telah menggantung semua penerbangan antarabangsa dan domestik yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia, bermula dari 28 Mac hingga 21 April 2020.

Syarikat penerbangan lain dalam Kumpulan AirAsia juga akan mengurangkan frekuensi penerbangan mereka.

Affin Hwang Capital dalam nota hari ini berkata, langkah drastik itu mencerminkan persekitaran operasi agak buruk yang dihadapi oleh industri penerbangan.

Selaras dengan itu, firma penyelidikan itu mengulangi saranan 'Jual' pada saham AirAsia dengan sasaran harga 12 bulan yang lebih rendah kepada RM0.49.

Sementara itu Philippines AirAsia, Thai AirAsia, PT Indonesia AirAsia dan AirAsia India telah mengurangkan frekuensi penerbangan mereka.

"Bagi mengurus dan menangani kos, kakitangan pengurusan dan kanan AirAsia secara sukarela memilih pemotongan gaji, sama ada pada kadar 100 peratus atau sehingga 15 peratus," katanya.

Selain itu, untuk tujuan menangani kos, Affin Hwang Capital menjangka AirAsia akan berunding dengan pembekalnya bagi mengurangkan kos operasi, misalnya operasi pajakan, caj lapangan terbang, bahan api, kos operasi serta penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

"Kami kini meramalkan AirAsia akan melaporkan kerugian yang lebih besar pada 2020-2021 selepas mengambil kira kejatuhan hasil akibat penggantungan sementara penerbangan serta prospek industri yang agak sukar dan selepas dimasukkan usaha penjimatan kos kakitangan, operasi pajakan, bahan api dan operasi serta perbelanjaan penyelenggaraan," katanya. - Bernama