SP Setia capai hasil jualan RM1.03 bilion suku tahun ini

Ferrous Setia Alam Impian adalah fasa pertama di Presint Seni Perindustrian yang dilancarkan dan mencapai pembelian sebanyak 80 peratus. Gambar kecil: Kai Wai
Ferrous Setia Alam Impian adalah fasa pertama di Presint Seni Perindustrian yang dilancarkan dan mencapai pembelian sebanyak 80 peratus. Gambar kecil: Kai Wai
A
A
A

SP Setia Berhad mencapai hasil jualan membanggakan sebanyak RM1.03 bilion untuk suku pertama yang berakhir 31 Mac 2023 merangkumi hasil berjumlah RM968 juta dengan keuntungan sepadan sebelum cukai sebanyak RM116 juta.

Penyumbang utama keuntungan itu termasuk projek tempatan RM903 juta atau lebih kurang 87 peratus daripada jualan yang dijamin sebahagian besarnya dari wilayah tengah dengan RM546 juta dan selatan sebanyak RM285 juta, manakala projek antarabangsa menyumbang RM130 juta atau lebih kurang 13 peratus daripada jualan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Choong Kai Wai berkata, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan dalam persekitaran makroekonomi kerana sentimen pasaran yang mencabar.

“Inventori bernilai RM107 juta telah dijelaskan pada suku ini dan memperoleh jumlah tempahan sebanyak RM512 juta pada 31 Mac 2023 serta kekal teguh terhadap penukaran tempahan kepada jualan.

‘’SP Setia merancang untuk melancarkan hartanah tempatan bernilai RM4.89 bilion dan pelancaran akan tertumpu di wilayah tengah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM3.83 bilion, wilayah Johor pula sebanyak RM403 juta dan utara bernilai RM575 juta di kawasan Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Setia Eco Park Goldea 2 yang terletak di Presint Arundina bakal dilancarkan.
Setia Eco Park Goldea 2 yang terletak di Presint Arundina bakal dilancarkan.

Menurut Chong, pihaknya telah melancarkan GDV berjumlah RM683 juta hartanah yang kebanyakannya terdiri daripada rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar seperti Setia Eco Templer, Setia Alam Impian dan Setia Eco Gardens dalam tempoh tersebut.

Jelasnya, dengan kenaikan Kadar Polisi Semalaman oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu mengatasi inflasi akan memberi tekanan dan menambah beban kepada pembeli rumah baharu.

Tambahnya, dengan jualan yang membanggakan pihak syarikat begitu optimis mensasarkan jualan sebanyak RM4.2 bilion.

“Kami menyedari pelbagai langkah telah diumumkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengutamakan pembangunan komuniti yang mampan dengan mengambil tindakan permintaan pasaran serta tahap kemampuan pembeli.

“Kami terus memberi penekanan kepada penawaran baharu bagi memenuhi permintaan pembeli dengan mempelbagaikan sektor hartanah supaya dapat mengembangkan kehadiran di beberapa pasaran Australia dan Vietnam memandangkan potensi pertumbuhan kukuh dalam pasaran ini,” katanya.