LJM perkasa bakat kejuruteraan negara

Siri Kuliah EIS buat julung kali dalam dua sesi webinar pada 22 dan 29 November 2025 menerusi Zoom dan Youtube Live.
Siri Kuliah EIS buat julung kali dalam dua sesi webinar pada 22 dan 29 November 2025 menerusi Zoom dan Youtube Live.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) melalui Jawatankuasa National Undergraduate Engineering Talent (NUET) menganjurkan Siri Kuliah Engineers in Society (EIS) buat julung kali dalam dua sesi webinar pada 22 dan 29 November 2025 menerusi Zoom dan Youtube Live.

Program disertai hampir 4,000 pelajar kejuruteraan dan ahli akademik dari seluruh negara, menjadikannya salah satu penglibatan paling signifikan LJM dengan institusi pengajian tinggi.

Ia mencerminkan minat generasi muda terhadap profesion kejuruteraan serta kesedaran mereka terhadap tanggungjawab jurutera dalam dunia yang semakin kompleks.

Siri Kuliah EIS 2025 bertujuan memperluas pemahaman pelajar tentang profesion kejuruteraan dengan menekankan amalan etika, tanggungjawab profesional, serta laluan kerjaya jurutera profesional.

Program ini juga membawa objektif agar graduan bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan kesedaran tinggi terhadap masyarakat, kepentingan berdaftar dengan LJM dan penekanan aspek keselamatan awam, alam sekitar dan kelestarian dalam bidang kejuruteraan.

Kandungan kuliah disampaikan melalui empat modul utama iaitu Kerjaya Kejuruteraan, Amalan Kejuruteraan di Malaysia, Etika Kejuruteraan serta Jurutera dan Dunia.

Modul-modul ini menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman sebenar profesional kejuruteraan.

Pengerusi Jawatankuasa NUET, Datuk Ir Dr Rahim Hashim berkata, siri kuliah itu direka untuk menunjukkan bahawa kejuruteraan bukan sekadar kepakaran teknikal.

“Ia melibatkan tanggungjawab, akauntabiliti dan impak keputusan kita terhadap masyarakat serta alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Saya teruja melihat penyertaan yang tinggi dan minat mendalam daripada pelajar, mereka adalah generasi profesional yang akan membentuk masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, beberapa inisiatif susulan akan dilaksanakan, termasuk sesi ceramah industri, mekanisme pendaftaran ahli panel penasihat industri serta pertandingan Inovasi bagi pelajar Projek Tahun Akhir (FYP) dan Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP).

Katanya, inisiatif itu melengkapkan pendidikan formal dengan peluang penglibatan industri, pendedahan praktikal dan pembangunan kemahiran profesional.

Rahim berkata, selaras dengan keperluan negara untuk memenuhi permintaan tenaga kerja kejuruteraan, LJM berharap inisiatif seperti itu dapat menggalakkan graduan untuk terus memilih kerjaya kejuruteraan dan kekal dalam profesion, sekali gus mengurangkan kecenderungan beralih ke bidang lain.

“Pemerkasaan dan kesinambungan bakat kejuruteraan amat penting bagi menyokong agenda pembangunan negara,” katanya.

Menurutnya, LJM juga sentiasa beriltizam membangunkan kemahiran serta keupayaan jurutera dan jurutera teknologis masa depan.

"LJM akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan rakan industri bagi memastikan bakat kejuruteraan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dan kekal kompetitif di peringkat global," katanya. 
 

 

Ringkasan AI

  • LJM menganjurkan Siri Kuliah Engineers in Society dalam dua sesi webinar pada 22 dan 29 November 2025
  • Program itu disertai hampir 4,000 pelajar kejuruteraan dan ahli akademik dari seluruh negara
  • Tujuan program adalah memperluas pemahaman pelajar tentang profesion kejuruteraan dan menekankan etika, tanggungjawab profesional, dan laluan kerjaya
  • Kandungan kuliah merangkumi empat modul utama berkaitan dengan kejuruteraan, amalan, etika, dan impak keputusan terhadap masyarakat
  • Inisiatif ini bertujuan menggalakkan graduan memilih kerjaya kejuruteraan, dan LJM berharap untuk mengurangkan kecenderungan beralih ke bidang lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!