PRN Sabah: BN wajar jadi pembangkang - G57

KOTA KINABALU - Barisan Nasional tidak sewajarnya diterima menyertai kerajaan negeri yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar.
Ini kerana katanhya, tindakan parti itu yang sebelum ini cuba melakukan gerakan politik menggugat kedudukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih menjadi ingatan dan wajar dijadikan pengajaran agar pentadbiran Sabah tidak sekali lagi terdedah kepada ketidaktentuan.
"Saya secara konsisten berpendapat bahawa ADUN-ADUN BN tidak seharusnya diterima menyertai kerajaan negeri, khususnya selepas episod 'Langkah Kinabalu 2023' yang pernah menggugat kestabilan pentadbiran Sabah.
"Peristiwa tersebut wajar dijadikan pengajaran bahawa kerajaan Sabah mesti dibina atas asas integriti, kesetiaan politik dan penghormatan tegas terhadap mandat rakyat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zulkarnain yang juga aktivis politik berkata, keputusan PRN17 yang menyaksikan rakyat memilih kerajaan dipimpin GRS memberi ruang untuk pentadbiran negeri bergerak dengan lebih stabil, manakala blok pembangkang perlu memainkan peranan yang lebih matang dan bertanggungjawab.
Justeru, beliau menegaskan bahawa Warisan dan BN lebih sesuai kekal sebagai pembangkang yang konstruktif demi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan baik.
"Dalam konteks ini, Warisan dan BN lebih sesuai terus berperanan sebagai pembangkang konstruktif. Mereka memikul tanggungjawab untuk meneliti dasar kerajaan secara kritikal, mempertahankan kepentingan rakyat, mempersoalkan keputusan yang merugikan negeri dan menyokong inisiatif kerajaan yang membawa manfaat nyata kepada Sabah.
"Pembangkang yang efektif bukan sahaja memperkukuh proses demokrasi, malah membantu memastikan kerajaan negeri mencapai tahap kecekapan dan integriti tertinggi dalam pelaksanaan agenda pembangunan," katanya.
Sebelum itu, beliau berkata, kerajaan Sabah kembali dibentuk melalui kerjasama GRS, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pakatan Harapan (PH) serta beberapa ADUN Bebas, dengan gabungan keseluruhan 38 kerusi, melepasi majoriti mudah daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Dalam keputusan PRN kali ini, BN hanya berjaya memenangi enam kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus menunjukkan tahap penerimaan rakyat yang semakin merosot terhadap parti itu di Sabah.
Ringkasan AI
- ADUN BN tidak patut disertakan dalam kerajaan negeri Sabah pasca PRN17 menurut G57
- Zulkarnain menegaskan peristiwa 'Langkah Kinabalu 2023' mencerminkan perlunya integriti dan kesetiaan politik
- Keputusan PRN17 yang memihak kepada GRS menunjukkan keperluan untuk pembangkang yang matang
- Warisan dan BN harus kekal sebagai pembangkang konstruktif untuk memperkuat demokrasi
- Kerajaan Sabah dibentuk dengan gabungan GRS, UPKO, PH, dan ADUN Bebas, mendapat total 38 kerusi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
