PH hilang sokongan pengundi tegar Cina

PH tidak menjangka kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina pada PRN Sabah ke-17.
PH tidak menjangka kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina pada PRN Sabah ke-17.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) tidak menjangka kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sekali gus menjadi isyarat penting kepada gabungan politik itu menilai semula strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, prestasi semasa gabungan itu khususnya melibatkan perubahan pola sokongan pengundi Cina, menuntut analisis menyeluruh bagi memahami puncanya.

“Ya, kami pun sebenarnya tidak menjangka yang kita kehilangan (sokongan yang) substantial, agak besar pengundi-pengundi tegar kita dalam kalangan pengundi Cina.

“Jadi, selepas ini kami kena buat pascanilai apa sebenarnya yang berlaku dan bagi saya, ini adalah wake-up call kepada Pakatan Harapan, khususnya Parti Keadilan Rakyat, untuk kita menilai semula strategi kita,” katanya kepada pemberita di kediaman Ketua Menteri di Sri Gaya.

Beliau berkata, pengajaran yang diterima melalui keputusan kali ini memberi ruang kepada PH untuk memperkemas pendekatan dan strategi lebih awal sebelum menghadapi PRU16.

“Untuk persediaan PRU ke-16, saya fikir ini bagus juga kita dapat kesan lebih awal masalah-masalah ini supaya kita boleh merangka strategi untuk kita memenangi semula pengundi-pengundi tegar kita untuk kembali menyokong Pakatan Harapan,” katanya.

Mustapha turut mengesahkan kehadirannya di lokasi itu adalah selari dengan pendirian rasmi PKR seperti yang telah diumumkan oleh Setiausaha Agung parti berhubung pembentukan Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang bakal dibentuk tidak lama lagi dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai bakal Ketua Menteri kita, insya-Allah,” katanya.

DAP Sabah gagal meraih sebarang kerusi daripada semua lapan kawasan yang ditandingi parti itu pada PRN Sabah kali ini, PKR pula hanya menang satu daripada 13 kerusi yang ditandingi manakala Amanah gagal memenangi satu-satunya kerusi yang ditandingi iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri Sulabayan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pakatan Harapan tidak menjangka kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina pada PRN Sabah
  • Perubahan pola sokongan pengundi Cina memerlukan analisis menyeluruh untuk memahami puncanya
  • Prestasi semasa gabungan itu menjadi wake-up call kepada PH untuk menilai semula strategi
  • PH perlu memperkemas pendekatan dan strategi sebelum menghadapi PRU16
  • Mustapha Sakmud mengesahkan kesediaan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai bakal Ketua Menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!