DAP 'bungkus' dalam PRN Sabah, enam kerusi dirampas Warisan

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Foto Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan parti berkenaan mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti mengambil iktibar daripada keputusan itu dan menilai semula segala kelemahan serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.

“DAP Sabah gagal mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini. Kami menerima dan menghormati keputusan oleh para pengundi di 8 kawasan yang ditandingi oleh DAP.

“Kami juga mengucapkan tahniah kepada parti dan calon yang telah diberi mandat oleh pengundi di kawasan-kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

DAP bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Elopura diwakili Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; DUN Sri Tanjung diwakili Ketua DAPSY Tawau, Philip Yap Wui Lip; DUN Luyang diwakili oleh Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah, Chan Loong Wei.

Sementara itu, bagi DUN Likas diwakili oleh Pengerusi DAP Sabah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe; DUN Kapayan dikekalkan kepada Jannie Lasimbang, DUN Tanjung Papat diwakili Tang Szu Ching dan DUN Tanjung Aru diwakili Timbalan Pengerusi DAP Sabah merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin sementara Kemabong ditandingi bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Warisan memenangi kesemua enam kerusi yang dimenangi DAP pada 2020 iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong.

Sekiranya keputusan itu disahkan, ia akan menjadi kali pertama sejak 2004 menyaksikan DAP tidak akan mempunyai wakil dalam DUN.

Dalam pada itu Anthony berkata, DAP Sabah masih mempunyai 2 wakil di peringkat Parlimen dan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut akan meningkatkan usaha di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengakui kegagalan parti mempertahankan sebarang kerusi di PRN Sabah
  • Pemimpin parti mengambil iktibar dan berusaha menang kembali sokongan rakyat
  • DAP gagal mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini di Sabah
  • DAP bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah
  • Parti Warisan memenangi kesemua enam kerusi yang dimenangi DAP pada 2020

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!