Tengah ujian banjir, ada pula individu lakukan jenayah

Seorang lelaki ditahan kerana mencabul remaja perempuan di pusat pemindahan sementara di Bachok. - Gambar hiasan
Seorang lelaki ditahan kerana mencabul remaja perempuan di pusat pemindahan sementara di Bachok. - Gambar hiasan
A
A
A

BANJIR sepatutnya menjadi detik untuk masyarakat saling membantu, namun saban tahun muncul laporan mengenai individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan melakukan jenayah ketika orang lain berada dalam keadaan lemah dan terdesak.

Dalam suasana kelam-kabut memindahkan keluarga, menyelamatkan dokumen penting dan mencari tempat berlindung, ada mangsa yang akhirnya berdepan ancaman lebih buruk daripada bencana itu sendiri.

Situasi ini tidak mustahil dan benar-benar berlaku apabila seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencabul seorang remaja perempuan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah negeri di Pantai Timur pada Rabu.

Suspek berusia 21 tahun disyaki mencabul remaja perempuan berusia 16 tahun kira-kira jam 11 pagi.

Menurut sumber, mangsa tidak mengenali suspek dan mereka hanya berbual ketika berada di PPS berkenaan.

Lelaki itu kemudian dipercayai mencabul mangsa sebelum remaja berkenaan memaklumkan kejadian tersebut kepada ibunya.

Tahun lalu, kita turut dikejutkan dengan kes tiga remaja yang juga mangsa banjir memecah masuk ke sebuah pejabat sekolah yang dijadikan tempat berlindung. Beberapa kes lain turut dilaporkan sepanjang musim banjir seperti pecah rumah, kecurian kenderaan dan gangguan seksual.

Pada tahun sebelumnya, seorang warga emas dilaporkan ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak di sebuah PPS.

Laporan-laporan mengenai jenayah ketika bencana jelas memaparkan bagaimana penjenayah tanpa hati nurani memanfaatkan kekacauan bencana untuk memerangkap mangsa yang tidak berdaya.

Artikel Berkaitan:

Bencana alam mungkin tidak dapat dielakkan, namun jenayah ketika bencana bukan sesuatu yang harus diterima, apatah lagi dinormalisasikan.

Situasi ini menunjukkan bahawa bencana bukan sahaja menguji kemampuan fizikal masyarakat, tetapi turut memperlihatkan sejauh mana moral dan akhlak manusia mampu bertahan ketika dalam keadaan terdesak.

Perbuatan mengambil kesempatan ketika bencana wajar dikecam tanpa kompromi.

Dalam keadaan orang lain serba kekurangan dan bergelut untuk bertahan, tindakan mencuri, mencabul atau melakukan apa-apa jua bentuk jenayah hanya mencerminkan hati yang gelap dan hilang nilai kemanusiaan.

Di sebalik segala cabaran, masyarakat harus terus bersatu menghadapi musim tengkujuh yang sukar diramal ini dengan memastikan bahawa dalam keadaan sesukar mana sekalipun, nilai kemanusiaan tidak boleh dikorbankan.

Hanya dengan itu, masyarakat dapat melalui musim bencana dengan lebih kuat, bersatu dan bermaruah, tanpa dibelenggu perbuatan tidak berperikemanusiaan yang merosakkan saat-saat paling mencabar dalam hidup mereka.

Ringkasan AI

  • Banjir sepatutnya menjadi detik masyarakat saling membantu, namun muncul laporan jenayah ketika keadaan lemah
  • Lelaki 21 tahun ditahan kerana mencabul remaja perempuan 16 tahun di pusat pemindahan semasa banjir
  • Mangsa tidak kenal suspek dan kejadian berlaku di pusat pemindahan sementara
  • Kes jenayah termasuk pecah rumah, curi kenderaan dan cabul dilaporkan semasa banjir tahun lepas
  • Bencana alam menguji kemampuan fizikal dan moral masyarakat, jenayah ketika bencana tidak boleh diterima

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!