Warga emas mengaku salah sebar maklumat palsu kes Covid-19

Alias didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat penyataan tidak benar dalam aplikasi WhatsApp mengenai kes Covid-19, minggu lalu.
Alias didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat penyataan tidak benar dalam aplikasi WhatsApp mengenai kes Covid-19, minggu lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu dalam aplikasi WhatsApp mengenai jangkitan koronavirus (Covid-19) minggu lalu.

Tertuduh, Alias Samad, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat suatu penyataan dalam media sosial aplikasi WhatsApp kumpulan TTHAM RADIO bahawa seorang lelaki telah masuk wad disyaki Covid-19 kerana baru balik dengan kumpulan tabligh dan enggan mendapatkan rawatan, dengan niat menyebabkan ketakutan awam.

Tertuduh yang bekerja sendiri didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Jambatan Duyung di sini pada jam 9.26 malam, 20 Mac lalu.

Sehubungan itu Alias didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kesan perbuatan tertuduh itu boleh mencetuskan panik dan mengganggu ketenteraman awam, selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam yang lain.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan hanya bekerja sendiri selain mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Nazrin ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, adalah menjadi kesilapan tertuduh menyebarkan maklumat tanpa usul periksa dan pertimbangan hukuman mengambil kira kerjasama baik diberikan tertuduh sepanjang siasatan dilakukan antaranya menyerah diri kepada pihak polis, selain kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

"Seharusnya kes itu dijadikan pengajaran buat tertuduh dan masyarakat supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat," katanya.