PPS diperkasa tangani isu disiplin, jenayah dan keselamatan di sekolah

Fadil (dua dari kanan kanan) menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH pada Khamis.
Fadil (dua dari kanan kanan) menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan mewujudkan pasukan khas yang diketuai pegawai kanan polis bagi setiap sekolah dalam usaha memperkasakan sistem Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, inisiatif itu menjadikan penugasan PPS sebagai keutamaan pihaknya dalam menangani isu disiplin, jenayah dan keselamatan di sekolah secara lebih komprehensif.

“Polis Kuala Lumpur akan mewujudkan pasukan iaitu setiap sekolah akan mempunyai sekumpulan pegawai kanan polis dan anggota yang akan bertindak sebagai PPS.

“Jika sebelum ini seorang Inspektor mengetuai sesebuah sekolah, kini saya menugaskan pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan Deputi Superintenden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesejahteraan Komuniti ‘Disiplin Terjaga, Generasi Terbina’ Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Megat Affandi Ismail serta lebih 1,200 petugas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk pengetua, guru besar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan guru disiplin.

Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen HGH pada Khamis.
Program Kesejahteraan Komuniti 'Disiplin Terjaga, Generasi Terbina' Tahun 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen HGH pada Khamis.

Fadil berkata, pegawai kanan polis itu akan bertanggungjawab terhadap beberapa sekolah, manakala pegawai berpangkat Deputi Superintenden pula akan mengetuai pelaksanaan penugasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha pencegahan perlu dimulakan di peringkat sekolah dan bukannya menunggu sehingga masalah sosial merebak di luar.

Menurutnya, penubuhan pasukan khas itu penting bagi memantau sekolah pelbagai aliran di Kuala Lumpur, terutamanya dalam menangani isu seperti buli fizikal dan siber, penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar.

“Kehadiran PPS yang lebih kerap bersama guru membolehkan kita menghalang gangguan luar, termasuk elemen gengsterisme daripada menembusi kawasan sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadil memberi jaminan bahawa pihak polis akan bekerjasama secara lebih agresif dan profesional dengan guru disiplin, serta meminta golongan pendidik tidak bimbang dalam menjalankan tugas penguatkuasaan peraturan.

Ketika ini, terdapat 219 sekolah rendah, 122 sekolah menengah dan 27 sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing mempunyai seorang PPS.

Ringkasan AI

  • Polis Kuala Lumpur akan mewujudkan pasukan khas yang diketuai pegawai kanan polis untuk memperkasakan sistem Pegawai Perhubungan Sekolah
  • Inisiatif itu bertujuan untuk menangani isu disiplin, jenayah, dan keselamatan di sekolah secara lebih komprehensif
  • Setiap sekolah akan mempunyai sekumpulan pegawai kanan polis dan anggota sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah
  • Usaha pencegahan isu sosial perlu dimulakan di peringkat sekolah
  • Pasukan khas itu penting bagi memantau sekolah dalam menangani isu seperti buli, penyalahgunaan dadah, dan penggunaan rokok elektronik atau vape di kalangan pelajar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!