Pegawai kanan DBKL mengaku tidak bersalah terima wang RM50,000

Seorang pegawai kanan DBKL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 daripada seorang individu berkaitan kerja rasminya di agensi kerajaan tempatan itu, pada Januari lepas. Foto Bernama
Seorang pegawai kanan DBKL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 daripada seorang individu berkaitan kerja rasminya di agensi kerajaan tempatan itu, pada Januari lepas. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 daripada seorang individu berkaitan kerja rasminya di agensi kerajaan tempatan itu, pada Januari lepas.

Tertuduh, Mohamad Hamim @ Mohamed Kamarudin, 54, yang ketika itu menjawat jawatan Pengarah Eksekutif (Pengurusan) di DBKL didakwa menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 daripada seorang individu yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku, dekat sini, pada 10 Januari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Yasri Yahya menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Alif Anuar yang mewakili tertuduh bersama peguam, Zeffree Zainudin memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga serta seorang anak kurang upaya.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

"Mahkamah tidak menahan pasport tertuduh tetapi dia perlu membuat laporan secara bertulis kepada mahkamah setiap kali ke luar negara,” katanya.

Mahkamah menetapkan 12 Jan ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pegawai kanan DBKL didakwa menerima rasuah RM50,000
  • Pegawai tersebut, Mohamad Hamim @ Mohamed Kamarudin adalah Pengarah Eksekutif (Pengurusan) di DBKL
  • Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku pada 10 Januari
  • Tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
  • Tertuduh diikat jamin RM15,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!