Buli bukan lagi isu disiplin, kini jenayah berat

STATISTIK rasmi menunjukkan peningkatan ketara jumlah kes buli yang menyebabkan kecederaan di Malaysia, daripada sekitar 3,000 kes pada tahun 2015 melonjak kepada lebih 5,300 kes pada tahun 2023, bersamaan kenaikan hampir 77 peratus dalam tempoh lapan tahun.
Lonjakan ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah dan institusi pendidikan berasrama.
Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan majoriti kes melibatkan buli secara fizikal dan lisan, manakala sebahagian lagi berbentuk buli siber yang semakin sukar dibendung.
Keadaan ini memerlukan pendekatan baharu yang lebih tegas daripada pihak berkuasa.
Sebagai respons, kerajaan memperkenalkan pindaan Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750], yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali kepada pelaku buli, khususnya apabila perbuatan itu menyebabkan mangsa cedera parah, mencederakan diri sendiri, mencuba membunuh diri atau meninggal dunia.
Pindaan ini memperkenalkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang meliputi pelbagai bentuk buli termasuk fizikal, penghinaan, gangguan emosi dan buli siber.
Menerusi penguatkuasaan undang-undang ini, kerajaan menghantar mesej bahawa buli bukan lagi kesalahan disiplin semata-mata, tetapi satu jenayah berat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut telah diwartakan pada 7 Mac lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 25 Februari.
Katanya, ia adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Beliau menegaskan, semua agensi, kementerian dan institusi pendidikan perlu segera menyelaras dasar dalaman masing-masing agar selari dengan peruntukan baharu ini, selain memastikan pelajar dan ibu bapa memahami hak mereka di sisi undang-undang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri pula menegaskan tiada alasan untuk memandang remeh isu buli kerana ia memberi kesan trauma yang mendalam kepada mangsa.
Beliau menyeru mangsa atau saksi untuk tampil membuat laporan melalui Talian Kasih 15999 atau saluran rasmi lain.
Isu buli kembali hangat selepas kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang dilaporkan terjatuh daripada bangunan di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.
Kes ini mengundang reaksi pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus tanpa sebarang perlindungan kepada mana-mana pihak.
Beliau menegaskan bahawa keadilan perlu ditegakkan “tidak kira anak siapa”, dan mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan tragedi tersebut.
Arahan itu membawa kepada tindakan polis menggali semula kubur Zara untuk menjalankan bedah siasat, dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak forensik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menegaskan KPM tidak pernah berkompromi terhadap mana-mana kes buli.
Katanya, semua aduan akan disiasat mengikut prosedur operasi standard, termasuk kerjasama rapat dengan pihak polis dalam kes Zara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, mendedahkan KPM sedang melaksanakan audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah berasrama penuh (SBP) dan asrama harian.
Audit ini akan menilai tahap keselamatan, sistem pemantauan serta keberkesanan pengurusan disiplin di premis berkenaan.
Audit berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dan akan dibentangkan kepada pengurusan tertinggi KPM untuk tindakan lanjut.
Antara cadangan yang dipertimbangkan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) wajib di kawasan strategik seperti bilik asrama, koridor dan ruang berkumpul pelajar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap KPM tidak bersikap defensif terhadap kritikan atau kebimbangan ibu bapa.
Beliau menggesa kementerian menyalurkan maklumat tepat, memberi jaminan keselamatan, dan menunjukkan komitmen penuh dalam siasatan.
Dari sudut psikologi, Kaunselor Berdaftar, Norliza Ahmad berkata, punca buli lazimnya berpunca daripada rasa rendah diri, masalah keluarga, tekanan rakan sebaya, dan ketidakstabilan emosi.
Menurutnya, pembuli sering kali cuba menonjolkan kuasa atau mengawal orang lain bagi menutup kelemahan diri sendiri.
Beliau menjelaskan, program intervensi seperti Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) melalui sesi kaunseling berkumpulan terbukti membantu pelajar mengurus emosi, meningkatkan keyakinan diri, dan membina kemahiran menyelesaikan konflik tanpa kekerasan.
Lonjakan kes buli turut memberi kesan kepada reputasi institusi pendidikan.
Kes Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) masih menjadi ingatan apabila mangsa didera secara kejam sehingga meninggal dunia. Kes itu mencetuskan perdebatan nasional tentang budaya buli dalam kalangan pelajar dewasa dan profesional.
Masyarakat sivil juga memainkan peranan penting. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus kepada hak kanak-kanak dan pendidikan menyeru agar pelaporan kes buli dibuat secara telus, termasuk statistik kecederaan fizikal dan mental.
Mereka mahu data itu dipecahkan mengikut negeri untuk membolehkan intervensi bersasar.
Di peringkat komuniti, ibu bapa disarankan lebih peka terhadap tanda-tanda anak menjadi mangsa buli, seperti perubahan tingkah laku, kecederaan tanpa penjelasan atau keengganan untuk ke sekolah.
Isu buli di Malaysia memerlukan pendekatan bersepadu bukan sahaja melalui undang-undang yang tegas, tetapi juga pendidikan berterusan, sokongan psikologi, pemantauan berkesan, dan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan agensi kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

