Kerajaan Johor pinda enakmen, pulihkan akidah pengikut ajaran sesat

Mohd Fared (kanan) menyempurnakan perasmian Program Gerobok Rezqi di masjid-masjid dalam Negeri Johor pada Khamis.
Mohd Fared (kanan) menyempurnakan perasmian Program Gerobok Rezqi di masjid-masjid dalam Negeri Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengambil langkah undang-undang dan pemulihan berhubung penularan ajaran sesat, terutamanya melalui media sosial, susulan titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Jabatan Agama Islam dengan kerjasama MAINJ telah meminda empat enakmen utama negeri bagi membolehkan tindakan diambil terhadap penyebaran ajaran sesat melalui medium digital.

"Enakmen yang dipinda ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor, Enakmen Keterangan, Enakmen Tatacara Syariah Negeri Johor serta pindaan kepada Enakmen Kawalan Pengajaran Agama Islam Negeri Johor.

"Pindaan ini memasukkan elemen media sosial, komputer, telefon bimbit dan aplikasi seperti TikTok sebagai medium penyebaran yang boleh diambil tindakan.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan terus mempertingkatkan pemantauan dan kerjasama dengan pihak penguat kuasa bagi membendung pengembangan doktrin yang menyeleweng.

"Selain itu, pihak Jawatankuasa Khas JAINJ dan Jabatan Mufti Negeri Johor sentiasa memantau laporan daripada pihak awam dan agensi berkaitan untuk mengesan dan menghentikan penyebaran ajaran sesat," katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Gerobok Rezqi di masjid-masjid dalam Negeri Johor di sini pada Khamis.

Mengulas aspek pemulihan, Mohd Fared berkata, MAINJ menjalankan program Istitabah (proses taubat/pemulihan) khas untuk pengikut ajaran yang telah difatwakan menyalahi akidah.

Katanya sehingga kini, MAINJ melaporkan ramai pengikut pelbagai ajaran telah menyertai program itu secara sukarela sebagai langkah kembali ke jalan yang benar.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa pengikut juga telah dikenakan tindakan perundangan, namun majoriti hadir melalui usaha kesedaran dan kaunseling yang disediakan dan paling ramai setakat ini ialah pengikut-pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH).

"Selain itu, MAINJ menyediakan bantuan susulan kepada mereka yang telah bertaubat melalui skim bantuan bulanan bagi membantu bekas pengikut membina kembali kehidupan mereka.

"Langkah bantuan ini dilaksanakan selari dengan usaha pemulihan bagi memastikan integrasi sosial dan ekonomi mereka selepas proses Istitabah, dan ia lebih menjurus kepada pendidikan dan kaunseling," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Johor mengambil langkah undang-undang untuk menangani penularan ajaran sesat di media sosial
  • Empat enakmen negeri telah dipinda untuk membolehkan tindakan terhadap penyebaran ajaran sesat melalui media digital
  • Pindaan merangkumi elemen media sosial dan aplikasi sebagai medium penyebaran
  • MAINJ menjalankan program Istitabah untuk pemulihan pengikut ajaran sesat
  • Bantuan susulan disediakan kepada bekas pengikut melalui skim bantuan bulanan untuk membantu mereka membina semula kehidupan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!