Perkataan ‘Pas parti ajaran sesat’ dan ‘kafir’ diharamkan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan perkataan 'Pas parti ajaran sesat' dan 'kafir' diharamkan sama sekali daripada digunakan dalam persidangan Parlimen bagi mengelakkan permusuhan sesama ahli Parlimen, tanpa mengira blok kerajaan mahupun pembangkang.
Beliau berkata, larangan tersebut selaras dengan Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) yang jelas melarang sebarang ungkapan yang boleh menimbulkan perasaan kecil hati atau permusuhan antara ahli dewan.
“Jangan lagi kata Pas ini parti ajaran sesat. Walaupun saya tahu dan ada video, Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pernah sebut, mantan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah sebut perkara itu, tetapi ia dilakukan di luar dewan.
“Itu bukan urusan saya. Biarlah pihak berkuasa lain ambil tindakan, tetapi apabila kamu semua berada dalam dewan ini, jangan lagi sebut, cukuplah. Ia tidak membawa manfaat, malah hanya menimbulkan permusuhan kerana ada sensitiviti di situ,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Johari turut mengingatkan semua ahli Parlimen supaya tidak lagi menggunakan perkataan 'kafir' ketika berbahas kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta dianggap tidak elok, lebih-lebih lagi apabila didengar masyarakat luar.
“Jangan panggil kawan-kawan kita kafir. Kafir-mengkafir ini tidak elok, anak-anak kita di luar mendengar pun pelik. Perkataan ini kalau disalah faham, ia boleh membara.
“Untuk membina sebuah rumah mengambil masa yang lama, tetapi untuk membakarnya amat pantas. Jadi sesiapa yang sebut kafir-mengkafir atau parti ajaran sesat di dalam dewan ini, saya akan ambil tindakan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

