‘Pastikan Karamunting membangun dan manfaatnya dirasai rakyat’- Kim Hiung

Jentera BN bersama Kim Hiung bertemu rakyat agar yakin bahawa beliau mampu membawa perubahan yang lebih baik di Karamunting.
Jentera BN bersama Kim Hiung bertemu rakyat agar yakin bahawa beliau mampu membawa perubahan yang lebih baik di Karamunting.
A
A
A

KARAMUNTING – Dalam landskap politik Sabah yang terus berkembang, Datuk Chin Kim Hiung muncul sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dengan membawa agenda pembangunan berasaskan keperluan sebenar rakyat.

Sebagai anak jati Sandakan, Kim Hiung percaya masa depan Karamunting perlu dibentuk melalui pendekatan realistik, perancangan teratur dan kesediaan mendengar suara masyarakat di setiap peringkat.

Kim Hiung, 57, berkata, kehadirannya ke gelanggang pilihan raya kali ini bukan sekadar untuk meraih sokongan politik tetapi untuk melaksanakan transformasi yang memberi impak kepada seluruh warga Karamunting secara inklusif dan berterusan.

“Visi saya adalah membawa perubahan menyeluruh ke segenap pelusuk Karamunting merangkumi pembangunan, infrastruktur, ekonomi dan pendidikan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama Kim Hiung bertemu penduduk sekitar.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama Kim Hiung bertemu penduduk sekitar.

“Saya juga mahu melahirkan generasi baharu yang berkualiti serta berdaya saing,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebagai Ketua Penyelaras MCA Parlimen Batu Sapi dan kini Bendahari MCA Sabah, Kim Hiung memberitahu, pengalaman luas dalam kepimpinan cukup membuktikan komitmennya terhadap pembangunan masyarakat.

Tegasnya, bersandarkan rekod itu, beliau berani membuat keputusan praktikal selaras dengan keperluan rakyat sekaligus memberi kekuatan terhadap manifesto yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Mengusung slogan “Ah Chin Bersamamu, Bangunkan Karamunting”, manifesto beliau dibina atas tiga tonggak utama iaitu kemudahan asas dan kualiti hidup, pendidikan berkualiti dan pembangunan ekonomi melalui perusahaan kecil sederhana (PKS) serta sektor pelancongan.

Menyentuh fokus utama kemudahan asas dan kualiti hidup, Kim Hiung berkata, masalah paling mendesak di Karamunting ialah gangguan bekalan air dan elektrik, keadaan jalan raya masih tidak memuaskan terutama di kawasan luar bandar serta sistem perparitan yang kurang terurus.

Beliau memaklumkan akan menangani isu ini secara berperingkat sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Jelasnya, antara komitmen konkrit yang digariskan juga memperkukuh kemudahan perubatan awam dan menjamin akses kepada perkhidmatan kesihatan asas saksama.

Kim Hiung melawat dan  warga Karamunting yang memerlukan perhatian pada kempen PRN Sabah.
Kim Hiung melawat dan  warga Karamunting yang memerlukan perhatian pada kempen PRN Sabah.

“Kita akan mengadakan pemantauan rapi, gerak kerja tersusun dan paling penting mewujudkan pasukan yang benar-benar mahu selesaikan masalah.

“Bukannya pasukan yang bersikap sambil lewa serta ketegasan juga penting dalam hal pengurusan ini,” ujarnya.

Mengulas manifesto seterusnya, Kim Hiung berkata, pendidikan adalah kunci masa depan Karamunting dan generasi muda perlu dibekalkan kelebihan kompetitif untuk menghadapi pasaran kerja baharu.

Kim Hiung (tengah) turut singgah ke rumah Tok Wan di Kampung Tabah Baru untuk bertemu para pengundi.
Kim Hiung (tengah) turut singgah ke rumah Tok Wan di Kampung Tabah Baru untuk bertemu para pengundi.

Menurutnya, cadangan beliau ialah menggalakkan pendidikan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris, memperkukuh aliran bahasa ibunda, selain menubuhkan pusat latihan vokasional bagi kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan e-dagang serta menambah baik pentadbiran dan kemudahan sekolah.

Beliau menambah, rangkaian dan pengalaman sedia ada akan dimanfaatkan untuk menghubungkan Karamunting dengan institusi pendidikan dan industri, membuka lebih banyak ruang perkembangan kepada belia.

"Pertama sekali kena perbaiki dan tambah baik sistem pentadbiran. Seterusnya saya akan menggunakan kekuatan dan rangkaian yang saya ada untuk membawa perubahan kepada institusi pendidikan di Karamunting," katanya lagi.

Dalam aspek ekonomi, Kim Hiung berkata Karamunting memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perusahaan kecil sederhana (PKS).

Kim Hiung melakukan tinjauan mesra di kawasan perniagaan agar suara usahawan didengar dan keperluan mereka dipenuhi.
Kim Hiung melakukan tinjauan mesra di kawasan perniagaan agar suara usahawan didengar dan keperluan mereka dipenuhi.

Justeru, manifesto ini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi serantau dengan menjadikan Karamunting sebagai hab pelancongan dan PKS.

“Kami akan memperkukuh sistem Barter Trade yang menjadi identiti ekonomi tempatan, menyusun semula Bandar Ramai, Nam Tung, Leila dan Hsiang Garden serta membaik pulih kaki lima dan sistem perparitan untuk menjadikan bandar lebih bersih dan selesa,” ulas beliau.

Disamping itu, Kim Hiung memaklumkan program latihan agresif akan dilaksanakan bagi memperkasa usahawan mikro, peniaga wanita dan komuniti perikanan supaya mereka bukan sahaja mampu bertahan, tetapi juga berkembang dan berdaya saing.

Menyentuh mengenai peluang pekerjaan untuk belia, beliau memilih untuk membentangkan strategi terperinci hanya selepas diberikan mandat.

Dalam menangani kemiskinan bandar, beliau menekankan kepentingan menyediakan peluang pendapatan stabil.

“Penting untuk kita mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan dalam masa sama perlu meningkatkan kemudahan asas dan fasiliti seiring peredaran semasa,” katanya.

Komitmen 100 hari pertama

Kim Hiung (kanan) mendengar masalah peniaga di Kampung Pukat ketika beliau menjalankan kempen di kawasan itu.
Kim Hiung (kanan) mendengar masalah peniaga di Kampung Pukat ketika beliau menjalankan kempen di kawasan itu.

Menjawab perbezaan pendekatan antara BN dan calon-calon lain, beliau menegaskan pendekatan realistik adalah pegangan parti itu sejak dahulu.

“Jika boleh, kami kata boleh. Jika tidak, kami tidak berjanji kosong. Pendekatan ini penting bagi membina kepercayaan rakyat khususnya dalam suasana politik yang sering dicemari janji populis,” katanya.

Bagi beliau, suara rakyat ialah nadi kepada setiap dasar dan sebab itu pasukannya kelak akan dianggotai wakil pelbagai komuniti bagi memastikan dasar pembangunan benar-benar inklusif.

Kim Hiung turut menggariskan komitmen 100 hari pertama sekiranya diberi mandat ialah memulakan inisiatif kebajikan rakyat serta pembangunan ekonomi yang menyasarkan masalah paling mendesak di Karamunting.

Tegasnya, walaupun tidak mahu menabur janji berlebihan, beliau yakin pengalaman dan rangkaian yang dimiliki dapat membawa perubahan nyata.

Walaupun sibuk Kim Hiung meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan. Foto FB Chin Kim Hiung 
Walaupun sibuk Kim Hiung meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan. Foto FB Chin Kim Hiung 

“Saya tidak sanggup menabur janji bulan dan bintang. Tetapi percayalah, saya akan memastikan Karamunting membangun dan manfaatnya dirasai rakyat. Berilah saya peluang dan saya akan buktikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu agar diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya.

MAKLUMAT CALON

KIM HIUNG
KIM HIUNG

Nama: Datuk Chin Kim Hiung

Asal: Sandakan, Sabah

Umur: 57 tahun

Status: Berkahwin

Nama Isteri: Ling Sui Yee

Bilangan Anak: Tiada

Pendidikan

Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Gunaan, Australian College of Applied Psychology, Australia

Pengalaman Kerjaya

Stamford College, Selangor – Pengajian Perniagaan dan Pengurusan

Ahli Perniagaan

Penglibatan Dalam Kerajaan

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah (2020–2022)

Penglibatan Politik

Bendahari MCA Sabah

Ketua Bahagian MCA Libaran

Ketua Penyelaras MCA Parlimen Batu Sapi

Penglibatan Dalam Persatuan

Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia

Presiden Persatuan Wushu Negeri Sabah

Penasihat Persatuan Teksi Sandakan

Penasihat Persatuan Hakka

 

 

ADVERTORIAL

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!