Guru kesal kontrak ditamatkan akibat kesilapan teknikal

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang guru Bahasa Melayu, Nor Azmarizal Mohd Shizan, 24, mendakwa penamatan kontrak perkhidmatannya dilakukan tanpa penjelasan jelas biarpun telah mengikuti semua prosedur berkaitan cuti sakit selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Februari lalu.
Nor Azmarizal atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ryzal berkata, kontraknya sebagai guru ditamatkan secara mengejut pada Ogos lalu ketika beliau masih dalam proses pemulihan susulan kemalangan motosikal yang berlaku di kampung halamannya di Merlimau, Melaka, ketika musim cuti sekolah.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta memasuki simpang tanpa memberi isyarat.
"Laporan polis turut mengesahkan pemandu kereta berkenaan sebagai pihak yang bersalah dan siasatan masih berjalan ketika ini.
“Saya kemalangan pada 7 Februari 2025. Selepas kemalangan, telefon saya rosak dan saya memaklumkan pihak sekolah dua atau tiga hari kemudian; rakan-rakan turut bantu menyampaikan berita kepada warga sekolah mengenai kemalangan itu.
“Borang cuti sakit juga telah diserahkan pada 5 Mei dan dimaklumkan telah diluluskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selama 180 hari berdasarkan maklumat yang diterima melalui komunikasi WhatsApp. Kelulusan itu turut disahkan kepada saya pada 7 Ogos.
“Tetapi pada 22 Ogos, saya dikunjungi pihak sekolah yang secara lisan memaklumkan bahawa kontrak saya ditamatkan dan saya perlu membuat bayaran balik gaji lebih RM1,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum itu, Ryzal turut memuat naik hantaran berhubung perkara tersebut di TikTok.
Tambah Ryzal, pada 14 September beliau juga telah diberikan sijil kerja ringan daripada Hospital Melaka.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak dibenarkan kembali bertugas kerana arahan daripada Bahagian Sumber Manusia di Kuala Lumpur dan ketika itu tiada sebarang surat rasmi diberikan.
“Saya hanya menerima surat penamatan itu melalui e-mel pada November. Saya memang kecewa kerana penamatan kontrak itu berpunca daripada ‘kesilapan teknikal’ berhubung had cuti sakit, termasuk rujukan kepada Klausa 1.1.1 dan 1.1.8 yang menetapkan had 75 hari.
“Saya juga langsung tidak diberi taklimat tentang pekeliling tersebut, malah saya memilih untuk mempercayai maklumat awal bahawa graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) mempunyai kelayakan cuti yang sama seperti kakitangan tetap.
“Saya ada semua bukti: gambar dari hospital, surat cuti dan tangkap layar pengesahan PPD. Saya cuma mahu keadilan.
"Semua ini, saya kongsi sebagai kesedaran kepada warga IPG dan pendidik yang lain, dan saya berharap pihak berkaitan dapat menilai semula sebarang keputusan serta memberikan penjelasan yang adil bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian pada Selasa turut melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan membawa kes seorang guru lantikan kontrak (interim) yang ditamatkan perkhidmatan selepas mengalami kemalangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pertimbangan lanjut.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, kes itu perlu disemak semula oleh KPM supaya guru terbabit dapat dilantik semula.
Menurut beliau, guru interim tidak diberikan penerangan jelas mengenai syarat kontrak perkhidmatan mereka termasuk had cuti sakit maksimum 75 hari setahun.
Ringkasan AI
- Guru Bahasa Melayu, Nor Azmarizal Mohd Shizan, mendakwa kontraknya ditamatkan tanpa penjelasan jelas selepas kemalangan
- Nor Azmarizal terlibat dalam kemalangan motosikal disebabkan kereta lain
- Borang cuti sakit diserahkan dan diluluskan oleh PPD selama 180 hari
- Kontraknya sebagai guru ditamatkan dan diminta bayaran balik gaji lebih RM1,000
- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan bawa isu ini ke Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pertimbangan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
