Ekonomi digital Malaysia paling pesat berkembang di Asia Tenggara

SHAH ALAM – Malaysia kini muncul sebagai negara dengan ekonomi digital paling pesat berkembang di Asia Tenggara menerusi pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 19 peratus, menurut laporan e-Conomy SEA 2025 oleh Google, Temasek dan Bain & Company.
Pengarah Urusan Google Malaysia dan Singapura, Ben King berkata, laporan itu menjangkakan nilai dagangan kasar (GMV) ekonomi digital negara mencecah RM161 bilion atau AS$39 bilion tahun ini.
“Peralihan ke arah pertumbuhan mampan ini didorong oleh kadar penggunaan digital kekal tinggi dalam kalangan pengguna serta persekitaran makroekonomi yang stabil termasuk kadar inflasi terkawal.
“Di peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara dijangka melepasi kira-kira RM1.24 trilion dalam GMV menjelang 2025 dengan pertumbuhan 15 peratus, mengatasi unjuran pertama rantau ini sebanyak 1.5 kali ganda,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, Asia Tenggara yang merupakan ekonomi kelima terbesar dunia dengan lebih 680 juta penduduk telah melalui proses pendigitalan pesat dalam sedekad lalu.
“Perkembangan itu turut menunjukkan ketahanan dan keupayaannya menjana pendapatan walaupun berdepan cabaran global seperti Covid-19, inflasi dan tekanan rantaian bekalan,” katanya.
Ben King berkata, prestasi Malaysia tahun ini didorong oleh kekuatan dan kematangan ekonomi digitalnya termasuk pertumbuhan pesat sektor pelancongan dalam talian.
“Sektor pelancongan digital mencatat pertumbuhan GMV sebanyak 19 peratus, terpantas di Asia Tenggara dipacu oleh peningkatan perhubungan udara dan langkah pelonggaran visa.
“Ketibaan pelancong antarabangsa meningkat lebih 20 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2025, membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada jumlah pelancong yang lebih tinggi serta perbelanjaan besar,” ujarnya.
Menurutnya, e-dagang terus berkembang pada kadar yang sihat dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital negara, dijangka mencecah kira-kira RM83.3 bilion menjelang 2025.
“Sektor ini mencatat pertumbuhan GMV 21 peratus tahun ke tahun, kedua terpantas di Asia Tenggara, dipacu oleh penyatuan platform serantau dan jualan melalui video yang menukar perhatian pengguna kepada pembelian dengan mudah.
“Perkhidmatan Kewangan Digital terus menunjukkan pertumbuhan dengan pembayaran digital dijangka mencecah kira-kira RM887 bilion dalam Gross Transaction Value (GTV) menjelang 2025.
“Momentum ini dipacu oleh peralihan pesat Malaysia ke arah pembayaran tanpa tunai, termasuk peningkatan 28 peratus dalam penggunaan pembayaran digital,” katanya.
Ben King mendedahkan kedudukan Malaysia sebagai hab teras AI dan infrastruktur digital di Asia Tenggara semakin menyerlah, dipacu oleh pelaburan besar dalam pusat data dan teknologi awan.
“Kapasiti pusat data di Malaysia telah meningkat kepada 690 Megawatt (MW) pada separuh pertama 2025, berbanding 120 MW pada 2024, dengan rancangan untuk meningkat sebanyak 350 peratus.
“Google juga mengumumkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM8.2 bilion) termasuk pembangunan pusat data pertama dan Google Cloud region bagi memenuhi permintaan perkhidmatan awan berkeupayaan AI dalam dan luar negara,” tambahnya.
Selain itu, Ben King berkata, iklim pelaburan positif di Malaysia terus kukuh, disokong oleh pembiayaan dalam sektor kecerdasan buatan (AI), aktiviti penyenaraian awam saham (IPO) yang rancak serta pelaburan infrastruktur digital yang berterusan.
“Malaysia meraih 32 peratus daripada keseluruhan pembiayaan AI swasta di Asia Tenggara berjumlah kira-kira RM3.14 bilion dan menerajui aktiviti IPO, menyumbang separuh daripada keseluruhan penyenaraian dalam 12 bulan lalu.
“Peningkatan aktiviti keluar ini menunjukkan persekitaran pelaburan yang lebih stabil sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi kompetitif untuk syarikat teknologi berimpak tinggi dan pengembangan digital,” ujarnya.
Jelas beliau, sentimen pelabur kekal positif dengan hampir dua pertiga pelabur yang disoal selidik menjangkakan peningkatan aktiviti pembiayaan di Malaysia hingga tahun 2030 terutamanya dalam sektor perisian, perkhidmatan, AI dan teknologi mendalam.
“Ekonomi digital Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif. Dengan kadar penggunaan digital yang tinggi, sektor kukuh serta pelaburan besar dalam infrastruktur digital, negara sedang membina ekosistem digital canggih dan kompetitif di peringkat global.
“Tahap penggunaan AI turut mempercepat kemajuan ini dengan tiga daripada empat pengguna digital di Malaysia menggunakan alat GenAI secara harian, mewujudkan asas kukuh untuk fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, rakan kongsi Bain & Company, Amanda Chin berkata, sektor ekonomi digital Asia Tenggara terus berkembang kukuh dan tahan lasak meskipun pelabur bersikap berhati-hati dan menghadapi cabaran makroekonomi sepanjang dekad lalu.
“Malaysia kini berada di barisan hadapan didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam e-dagang, pelancongan dalam talian, pembayaran tanpa tunai serta pembangunan pesat infrastruktur berkeupayaan AI.
“Peluang sebenar kini terletak pada bagaimana perniagaan memanfaatkan AI sebagai pemangkin impak sambil membina di atas asas digital Malaysia yang kukuh,” kata beliau.
Amanda berkata, kemajuan digital Malaysia dijangka membawa manfaat yang signifikan kepada pengguna dan perniagaan.
“Ini termasuk perkhidmatan perjalanan lebih baik, akses meluas kepada penyelesaian kewangan digital yang selamat serta peluang berkembang dalam bidang AI, perkhidmatan awan dan pembangunan kemahiran digital,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Malaysia kini negara dengan ekonomi digital paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan pertumbuhan 19 peratus
- Nilai dagangan kasar ekonomi digital negara dijangka mencapai RM161 bilion tahun ini
- Prestasi Malaysia didorong oleh pertumbuhan pesat sektor pelancongan dalam talian dan e-dagang
- Kapasiti pusat data di Malaysia meningkat kepada 690 Megawatt, menonjol sebagai hab infrastruktur digital
- Pelaburan dalam AI dan teknologi awan signifikan, dengan Google mengumumkan pelaburan RM8.2 bilion termasuk pembangunan pusat data pertama dan Google Cloud region
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
