Gelombang banjir dahsyat landa Asia Tenggara

Orang ramai termasuk sukarelawan meredah banjir selepas hujan lebat berterusan melanda kebanyakan kawasan di Vietnam.
Orang ramai termasuk sukarelawan meredah banjir selepas hujan lebat berterusan melanda kebanyakan kawasan di Vietnam.
A
A
A

HANOI - Jumlah korban banjir dahsyat dan kejadian tanah runtuh disebabkan hujan lebat luar biasa yang melanda rantau Asia Tenggara terus meningkat pada Isnin.

Selain itu, puluhan ribu terjejas bencana tersebut turut hilang tempat tinggal dan terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara.

Angka korban di Vietnam dilaporkan mencecah 91 orang manakala 11 hilang setelah negara itu dilanda hujan berterusan sejak lebih seminggu lalu.

Banjir besar berlaku dari wilayah Quang Tri hingga ke Lam Dong hingga mengakibatkan pergerakan tanah di kebanyakan kawasan.

Dak Lak menjadi provinsi paling teruk terjejas dengan lebih 60 mangsa terkorban manakala kematian lain direkodkan di beberapa wilayah lain termasuk Khanh Hoa, Lam Dong, Gia Lai, Danang dan Quang Tri.

Jalan raya yang terputus di kebanyakan kawasan menyebabkan helikopter terpaksa dikerahkan ke lokasi terkesan banjir untuk menggugurkan bantuan makanan dan bekalan penting lain serta memindahkan penduduk.

Hujan lebat luar biasa di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada akhir minggu lalu.
Hujan lebat luar biasa di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada akhir minggu lalu.

"Kami tidak pernah berdepan bencana teruk seperti ini," kata salah seorang penduduk, Pham Thu Huyen yang membantu untuk membersihkan sisa sampah dibawa arus banjir yang hanyut di pantai Nha Trang.

Artikel Berkaitan:

Paras banjir dilaporkan mula surut di beberapa kawasan, namun agensi ramalan kaji cuaca memberi amaran tentang cuaca lebih buruk pada minggu ini disebabkan pembentukan lekukan tropika baharu setelah dibadai beberapa taufan termasuk Kalmaegi pada awal bulan lalu.

Anggaran awal kos kerugian harta benda mencecah AS$493 juta (RM2.04 bilion).

Bagi meringankan beban mangsa banjir, pemerintah telah mengagihkan bantuan wang tunai serta 4,000 tan beras kepada golongan itu.

Lebih 200,000 rumah, 200,000 hektar ladang pertanian dan 1,157 hektar kolam ikan turut dilaporkan musnah.

Rekod hujan tertinggi

Di Thailand, hampir dua juta penduduk terjejas selepas banjir kilat melanda wilayah selatan pada akhir minggu lalu.

Pihak berkuasa kini membuat persediaan untuk menghantar bekalan bantuan dan pasukan perubatan ke kawasan terkesan banjir selepas 13 mangsa disahkan maut.

Usaha pemindahan penduduk giat dilakukan berikutan banyak lokasi tenggelam.
Usaha pemindahan penduduk giat dilakukan berikutan banyak lokasi tenggelam.

Di bandar Hatyai, wilayah Songkhla, corak taburan hujan selama 24 jam direkodkan mencecah 335 milimeter pada Jumaat lalu, yang merupakan rekod tertinggi dalam tempoh 300 tahun.

Beberapa kawasan di 10 provinsi selatan dilanda banjir separas pinggang.

Pada awal tahun lalu, Bangkok sudah pun dilanda banjir setelah bencana serupa meragut puluhan nyawa di wilayah tengah negara tersebut selain mengakibatkan kemusnahan hasil tanaman dan membinasakan ribuan kediaman.

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul turut mengarahkan lebih banyak mesin pam air dihantar ke kawasan terjejas dan menegaskan bantuan secara komprehensif kepada mangsa perlu disegerakan.

Sebelum ini, saintis memberi amaran iklim yang semakin panas berisiko memburukkan lagi cuaca tidak menentu termasuk taburan hujan di Asia Tenggara yang akan mengakibatkan kejadian banjir dan tanah runtuh berlaku dengan lebih kerap. - Agensi

 

Ringkasan AI

  • Korban banjir dan tanah runtuh di Asia Tenggara meningkat, Vietnam teruk terjejas dengan 91 orang meninggal
  • Puluhan ribu hilang tempat tinggal, berlindung di pusat pemindahan
  • Banjir besar dari wilayah Quang Tri hingga Lam Dong, Dak Lak paling teruk
  • Kerugian harta benda dianggarkan AS$493 juta, pemerintah agihkan bantuan wang tunai dan beras
  • Di Thailand, hampir dua juta penduduk terjejas, persediaan bekalan bantuan dan pasukan perubatan sedang diatur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!