Dunia bakal hadapi kegawatan ekonomi terburuk dalam sejarah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dunia bakal menghadapi kegawatan dan kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarah susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan hampir keseluruhan negara terpaksa menghentikan aktiviti ekonomi mereka.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, implikasi penutupan dan pengehadan pergerakan oleh negara yang dilaksanakan menyebabkan kira-kira 3 bilion penduduk dunia terkurung.

"Walaupun teknologi dunia semakin canggih tetapi perpindahan ke dunia maya ini tidak lengkap sehingga menyebabkan dunia dan ekonomi menjadi lumpuh kerana had pergerakan.

"Bila hanya duduk di rumah tiada aktiviti ekonomi seperti perkilangan, operasi dan perdagangan berlaku melainkan hanya keperluan asas yang bergerak. Ini mengehadkan volume dalam ekonomi," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam aspek pelaburan juga begitu situasinya berikutan pelabur tidak berani untuk melakukan aktiviti tersebut sebaliknya hanya menunggu bagi melihat persekitaran sesuai.

"Pelabur lebih berhati-hati, cuma sesetengah sahaja yang mempunyai strategi ketika harga saham berada pada paras yang rendah.

"Secara umumnya, ekonomi akan tergencat disebabkan had pergerakan ini," katanya.

Barjoyai berkata, sejak Januari lalu China menghentikan eksport dan import, malah kini ia melarat ke negara lain menyebabkan aktiviti berkenaan terhenti ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun China sudah pulih dan memulakan proses pengeluaran tetapi tidak ada permintaan daripada negara-negara lain kerana mereka menutup pintu kerana penularan Covid-19.

Menurutnya, permintaan terhadap minyak mentah dunia turun ke paras 30 peratus sahaja menjadikan ia berada dalam lingkungan AS$30 setong dan berkemungkinan turun ke paras paling rendah iaitu AS$8 setong.

"Sudah pasti negara-negara yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada produk ini akan terkesan.

"Pendapatan mereka berkurangan sekal igus memperlahankan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa apa yang berlaku kepada ekonomi dunia ketika ini memberikan pengajaran buat semua kerana terlampau mengejar kadar pertumbuhan yang cepat sehingga mengabaikan aspek pengagihan.

"Ramai berpendapat, kita perlu menjadi kaya terlebih dahulu sebelum boleh mengagihkan kekayaan tetapi sekarang ia kesilapan besar dalam sistem ekonomi.

"Begitu juga dengan aspek kewangan apabila dunia selama ini menekankan aspek kewangan bagi memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.

Mengambil contoh Malaysia sebagai sebuah negara Islam, Barjoyai berkata, apa yang perlu dilakukan ialah kembali kepada sistem Islam iaitu wakaf sebagai pemacu ekonomi baharu di abad ke 21.

"Jika terus dengan model lama, kita memerlukan masa kira-kira tiga tahun untuk memulihkan ekonomi. Kita perlu keluar daripada pusingan keganasan ini.

"Kebanyakan negara maju sudah mula pergi kepada sistem sektor ketiga iaitu sektor sukarela iaitu masyarakat bekerjasama. Sebagai contoh di Belanda mereka menggunakan sistem koperasi," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, perbincangan pakar ekonomi dunia kini dilihat selari bahawa ekonomi dunia akan terjejas disebabkan pandemik Covid-19 dan kebanyakan negara mengalami kesan yang sama.

"Ertinya pendapatan makin berkurangan, modal perniagaan makin besar, perbelanjaan dibuat bagi memastikan kelangsungan hidup.

"Bila sesebuah negara itu belum sampai kepada tahap bebas wabak, selagi itu negara terlibat perlu mengambil bantuan intervensi untuk memastikan keselamatan dan kelangsungan,"kataya.

Menurutnya, kematian akan berlaku akhirnya jika kita terselamat daripada Covid-19 tetapi tidak ada intervensi bagi kelangsungan.

"Sebagai contoh, lihat keadaan sekarang memang pendapatan bergantung kepada hasil usaha dengan keluar bekerja tetapi sampai kepada suatu tahap kita tidak lagi mempunyai pendapat untuk keluarga.

"Jika tidak ada intervensi ini, satu kumpulan akan mati kerana tiada ada sumber kewangan," katanya.

Katanya, buat masa sekarang hampir keseluruhan negara seperti Amerika Syarikat mengumumkan perbelanjaan cukup besar bagi memastikan keselamatan negara dan kelangsungan hidup terutama kumpulan paling bawah.

"Pendapatan rakyat tidak boleh ditingkatkan, perbelanjaan semakin besar dan pilihan yang ada ialah daripada kerajaan.

"Sebelum ini pertumbuhan ekonomi perlu dirangsang oleh swasta terutama perusahaan kecil dan sederahana untuk meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), tetapi sektor tersebut lumpuh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.