Pembantu kedai makan dapat kerakyatan Malaysia selepas JPN tarik semula rayuan

GEORGE TOWN- [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu kedai makan bersyukur apabila usahanya untuk mendapatkan status kerakyatan Malaysia selama 40 tahun melalui perundangan akhirnya berjaya.
Ia berikutan pihak defendan iaitu Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia telah menarik semula rayuan yang difailkan pada tahun lalu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Sebelum ini, permohonan Mohd Razwil Abdullah, 41 untuk mendapatkan sijil kelahiran baharu dan kad pengenalan bertaraf warganegara dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Quay Chew Soon pada 14 November tahun lalu.
Dalam keputusan tersebut, pihak defendan diperintahkan untuk mengeluarkan sijil kelahiran baharu dengan menyatakan pemohon sebagai warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, setelah keputusan itu dibuat, pihak defendan telah memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut.
Menurut peguam Mohd Razwil, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen, keputusan untuk menarik semula rayuan itu telah dibuat pada pagi Selasa.
"Hari ini kita datang ke mahkamah untuk mendengar keputusan rayuan defendan namun saya diberitahu bahawa mereka telah menarik semula rayuan tersebut.
"Keputusan itu dibuat sebelum Mahkamah Rayuan mengadakan persidangan khas yang sepatutnya diadakan pada pagi ini.
"Oleh demikian, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dibuat pada November lalu kekal yang mana, anak guam saya layak untuk memperoleh sijil kelahiran baharu dan kad pengenalan bertaraf warganegara yang dikeluarkan oleh JPN," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Menurutnya, kes yang difailkan pada 8 April tahun lalu itu telah selesai selepas pihak defendan menarik semula rayuan berkenaan.
Sementara itu, Mohd Razwil berkata, dia amat bersyukur kerana perjuangannya selama ini berhasil apabila keputusan mahkamah berpihak kepadanya.
Dia yang belum berkahwin berkata, kehidupannya selama ini terseksa apabila semua hak keistimewaan rakyat Malaysia tidak diperoleh termasuk ketika berurusan dengan hospital kerajaan selain sukar mendapat pekerjaan yang stabil.
"Saya amat tertekan dengan kehidupan selama ini kerana tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan bertaraf warganegara. Saya sukar untuk mendapat kerja tetap serta keistimewaan seperti rakyat Malaysia yang lain serta sering diekploitasi majikan dengan upah rendah.
"Saya juga pernah ditahan polis kerana tiada kad pengenalan selain pernah berniat untuk menamatkan nyawa saya kerana terlalu tertekan.
"Bagaimanapun pada hari ini, saya sangat gembira dan bersyukur ke hadrat Illahi apabila perjuangan saya selama ini berhasil dan berjaya mendapatkan sijil kelahiran baharu dan kad pengenalan," ujarnya.
Bercerita mengenai kehidupannya yang terdahulu, Mohd Razwil berkata, dia ditemui oleh seorang wanita bernama Rohaida Abdul Rashid ketika masih bayi.
"Menurut Rohaida, ketika itu saya dibalut dengan tuala putih dan masih bertali pusat pada tahun 1984, berdekatan dengan tong sampah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.
"Saya kemudiannya diambil dan dijaga oleh wanita itu sehingga berusia empat tahun dan selepas itu saya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga berumur 15 tahun," katanya.
Dia yang kini sebatang kara berkata, selepas menemui beberapa maklumat baharu daripada Rohaida, melalui peguamnya, dia beberapa kali mencuba memohon status kewarganegaraan namun gagal kerana tiada maklumat berkenaan ibu bapanya.
"Selepas ini saya akan mencari kerja yang lebih stabil untuk kelangsungan hidup.
"Terima kasih kepada Puan Rohaida dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana menjaga saya ketika saya masih kecil," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pembantu kedai makan berjaya mendapatkan status kerakyatan Malaysia selepas bertahun berusaha
- Rayuan oleh pihak defendan untuk batalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditarik semula
- Mohd Razwil Abdullah, 41, diberikan sijil kelahiran baharu dan kad pengenalan bertaraf warganegara
- Kehidupan Mohd Razwil terseksa tanpa identiti rasmi, sukar mendapat pekerjaan dan mengalami eksploitasi
- Dia ditemui berhampiran tong sampah pada 1984 dan dijaga oleh wanita bernama Rohaida sebelum diserahkan kepada JKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

