Banjir: 2,400 calon SPM di Pahang berisiko terjejas, Melaka ambil langkah bersiap sedia

PEKAN – Seramai 2,400 daripada 21,048 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas sekiranya berlaku banjir sepanjang tempoh peperiksaan yang bermula pada Selasa.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri, Ahmad Zamri Md Isa berkata, kesemua calon dikenal pasti melalui sistem pemantauan khas yang merekod lokasi kediaman dan laluan harian yang pernah dinaiki air sebelum ini.

“Setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah mempunyai senarai lengkap calon berisiko dan ini akan memudahkan tindakan diambil sekrianya pergerakan mereka ke pusat peperiksaan terganggu.
"Bila berlaku banjir, kita sudah bersedia untuk menggerakkan mereka ke pusat peperiksaan alternatif atau penempatan sementara.
"Ini bagi memastikan kesejahteraan mental dan emosi calon peperiksaan, selain menyediakan khidmat sokongan psikososial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan 95 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di sini pada Selasa.
Peperiksaan bertulis SPM dijadual berlangsung dari 25 November hingga 23 Disember di 267 pusat peperiksaan yang dibantu 5,426 petugas termasuk sukarelawan pengawas.
Ahmad Zamri memberitahu pelan mitigasi khusus turut disediakan termasuk penempatan sementara di asrama sekolah atau Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selain membenarkan calon berpindah ke rumah saudara sekiranya laluan utama terputus.
Jelasnya, pusat peperiksaan alternatif juga disediakan bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan jika pusat sedia ada terjejas.
“Kita berada dalam fasa Monsun Timur Laut dan Dashboard Ops Payung sudah diaktifkan.
"Semua agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap siaga dari aspek logistik, keselamatan dan bantuan kecemasan,” katanya.
Mengulas perkembangan banjir di Raub, beliau mengesahkan tiada calon SPM di daerah itu terjejas setakat ini, namun pemantauan terus dilakukan.
Jelasnya, risiko dijangka meningkat pada minggu akhir Disember deapn dan semua pihak termasuk calon serta ibu bapa perlu sentiasa bersedia apabila cuaca berubah.
“Kita juga menasihatkan calon supaya segera memaklumkan kepada sekolah, JPN atau PPD sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan asal.
"Calon juga dibenarkan menduduki peperiksaan di mana-mana pusat berhampiran sekiranya berlaku banjir," katanya.
Menjawab mengenai penggunaan sekolah sebagai PPS, Ahmad Zamri berkata, keutamaan diberikan kepada sekolah rendah manakala sekolah menengah hanya dijadikan alternatif.
"Jika tiada pilihan, dewan diperuntukkan untuk peperiksaan dan bilik kelas pula akan dijadikan PPS.
"Semua langkah ini dimaklumkan kepada jawatankuasa bencana untuk memastikan murid dapat mengikuti peperiksaan dengan lancar,” katanya.
Semenetara itu di MELAKA, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah bersiap sedia dengan pelan kecemasan sekiranya berlaku banjir atau sebarang situasi luar jangka yang boleh menjejaskan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini tiada sekolah atau calon SPM di Melaka yang terjejas banjir.
“Harapan kita jangan ada sekolah terjejas banjir. Ikut rekod, Melaka tidak pernah berdepan situasi banjir yang menjejaskan pelaksanaan peperiksaan.
“Namun begitu kita tetap bersiap sedia. Sekiranya berlaku juga, kita akan segera melaksanakan pelan kecemasan yang telah disediakan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Molek sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM pada Selasa.
Dalam pada itu beliau memaklumkan seramai 13, 358 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 100 pusat peperiksaan di Melaka dengan peperiksaan bertulis bermula 25 November hingga 23 Disember.
“Daripada jumlah itu seramai 11,371 (85.1 peratus) merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan di 76 sekolah.
“Diikuti 694(5.2 peratus) calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM termasuk MRSM, Henry Gurney dan Tunas Bakti.
“Selain itu, 21 (0.2 peratus) calon sekolah agama negeri; 206 (1.5 peratus) calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM dan 1,066 (8 peratus) calon persendirian,: ujarnya.
Ringkasan AI
- Seramai 2,400 calon SPM di Pahang berisiko terjejas akibat banjir
- Calon yang berisiko telah dikenal pasti melalui sistem pemantauan khas
- Tindakan pemindahan ke pusat peperiksaan alternatif atau penempatan sementara sudah disediakan
- Pelan mitigasi khusus disediakan termasuk penempatan di asrama sekolah atau Pusat Pemindahan Sementara
- Calon diizinkan menduduki peperiksaan di pusat berhampiran jika berlaku banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
