[VIDEO] Calon SPM terjejas banjir dinasihat tidak pulang ke rumah, elak terkandas

A
A
A

JITRA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menasihati calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir agar tidak membuat keputusan berpatah balik ke kediaman masing-masing setelah diarahkan berpindah bagi mengelakkan mereka terkandas.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, situasi semasa yang tidak menentu membolehkan paras air naik mendadak dan dikhuatiri membahayakan penduduk untuk berada di lokasi berisiko.

“Saya minta agar calon SPM yang diarahkan berada di asrama tidak berpatah balik untuk mengambil barangan atau keperluan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang boleh menjejaskan peperiksaan,” katanya kepada media ketika menyertai operasi menyelamat mangsa di lokasi banjir di Kubang Pasu pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, katanya, sebanyak 10 sungai di Kedah melepasi paras bahaya antaranya termasuk Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Perik, Wang Tepus dan Sungai Padang Pasir.

Salah seorang mangsa banjir, Maznah Mohamad, 55, dari Kampung Paya Tok Kiong berkata, dia terpaksa menunggu bantuan tiba hingga kira-kira lima jam setelah menyedari air naik sekitar jam 4 pagi.

“Sebelum bantuan tiba, saya dan suami duduk di beranda rumah... lima jam jugalah tunggu, tunggu jika ada pasukan penyelamat lalu... tak putus-putus berdoa agar kami dapat pindah ke tempat selamat,” katanya bersyukur apabila berjaya dikeluarkan dari lokasi terjejas.

Dalam operasi sama, lapan mangsa berjaya dipindahkan ke Dewan Wawasan Jitra termasuk tujuh dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Sementara itu, jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hanya bertumpu di daerah Kubang Pasu memandangkan PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang di Daerah Kulim yang dibuka pada jam 10 malam Sabtu telah ditutup sepenuhnya pada jam 12 tengah hari Selasa apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga jam 4 petang Selasa, jumlah keseluruhan mangsa di Kubang Pasu ialah seramai 1,503 orang daripada 481 keluarga yang ditempatkan di 15 buah PPS.

Artikel Berkaitan:

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 398 orang, sementara jumlah mangsa di tiga PPS yang baru dibuka iaitu di SK Sultan Ahmad Tajuddin, Masjid Abu Bakar Malau dan Dewan Wawasan Jitra masih dalam bancian.

Ringkasan AI

  • APM menasihatkan calon SPM terjejas banjir agar tidak kembali ke rumah setelah diarahkan berpindah
  • Situasi banjir tidak menentu dengan risiko paras air naik mendadak membahayakan
  • Calon SPM di asrama dinasihatkan tidak berpatah balik ke rumah untuk elak risiko sebelum peperiksaan
  • Sepuluh sungai di Kedah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Anak Bukit dan Sungai Padang Terap
  • Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kubang Pasu adalah 1,503 orang dari 481 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!