Mangsa sindiket penipuan di Jepun selamat namun alami masalah kurang tidur

KUALA TERENGGANU – Lelaki yang menjadi mangsa sindiket penipuan di Jepun, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 23, dilaporkan berada dalam keadaan selamat namun mengalami masalah kurang tidur.
Bapanya, Mohd Jailani Ambak, 52, berkata, perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun yang berada di Jepun sejak Isnin lalu bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.
Menurutnya, anaknya kini ditahan di Balai Polis Toyamanishi, Jepun dan berada dalam keadaan stabil, namun dipercayai kurang tidur akibat terlalu memikirkan masalah serta situasi yang dihadapinya ketika ini.
“Sekurang-kurangnya saya lega apabila dimaklumkan keadaan Faiq sihat. Cuma dia kurang tidur, mungkin terlalu memikirkan apa yang sedang berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Ujarnya, kehadiran wakil dari Malaysia itu turut membolehkan Muhammad Faiq Zafran mengetahui bahawa terdapat usaha sedang dijalankan bagi membantunya, termasuk proses perundangan untuk mengeluarkannya daripada tahanan.
Katanya, maklumat tersebut sedikit sebanyak membantu menenangkan emosi Muhammad Faiq Zafran apabila menyedari ada pihak yang sedang berusaha serta mengambil berat mengenai keadaannya.
Dalam pada itu, Mohd Jailani berkata, wakil yang berjaya bertemu dengan anaknya itu terpaksa berkomunikasi menggunakan khidmat jurubahasa berbahasa Inggeris.
“Saya dimaklumkan bahawa sebarang pertemuan dengan Faiq perlu menggunakan khidmat jurubahasa dan tanpa jurubahasa, pertemuan tidak dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, pertemuan itu turut memberi gambaran awal mengenai keadaan sebenar Muhammad Faiq Zafran serta prosedur yang perlu dilalui seterusnya.
“Hari ini (Selasa), mereka sedang dalam proses mendapatkan peguam bagi mengetahui langkah seterusnya, sama ada Faiq akan direman lagi atau didakwa, dan jika didakwa, berapa lama tempoh yang terlibat,” jelasnya.
Tambah beliau, mereka juga sedang meneliti prosedur pembebasan termasuk kaedah pembelaan sekiranya kes berkenaan dibawa ke peringkat perbicaraan.
Menerusi hantaran di laman sosial milik Hishamuddin, beliau memaklumkan misi MHO ke Toyama berjaya bertemu dengan Muhammad Faiq Zafran dan kini sedang menunggu untuk berjumpa peguam yang dilantik bagi mendapatkan fakta lengkap kes berkenaan.
Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan bersama Muhammad Faiq Zafran ialah usaha mendapatkan bantuan guaman serta mencari jalan terbaik bagi membantunya keluar daripada tahanan.
“Kita akan terus berada di Jepun buat sementara waktu bagi menyelesaikan kes ini,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, mangsa sindiket penipuan di Jepun, dilaporkan selamat namun mengalami masalah kurang tidur
- Ditahan di Balai Polis Toyamanishi, Jepun dalam keadaan stabil
- Kehadiran wakil dari Malaysia membolehkan dia mengetahui usaha pembebasan termasuk proses perundangan sedang dijalankan
- Pertemuan dengan Muhammad Faiq memerlukan khidmat jurubahasa berbahasa Inggeris
- Sedang dalam proses mendapatkan peguam untuk mengetahui langkah seterusnya termasuk prosedur pembebasan dan pembelaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
