WAJAR dilancar perkukuh peranan media di Selangor

SHAH ALAM - Peranan wartawan dan jurugambar konvensional semakin kritikal dalam memastikan penyampaian maklumat tepat, pantas dan berwibawa di tengah ledakan media sosial yang sering mencetuskan kekeliruan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cabaran terbesar pada masa kini ialah persaingan dengan aliran maklumat di media sosial yang mampu mencetuskan salah faham dan panik dalam komuniti.
"Maklumat yang cepat tular tidak semestinya benar dan yang benar pula tidak semestinya menjadi tular.
"Dulu apa yang direkodkan media menjadi rujukan, tetapi kini hearsay, fake news dan cerita kurang tepat lebih cepat dipercayai," katanya ketika berucap semasa Pelancaran Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, katanya, perubahan drastik dalam ekosistem media memerlukan pengamal media konvensional melakukan transformasi agar mampu kekal relevan, berautoriti dan dipercayai masyarakat.
Amirudin turut mengingatkan kelewatan memberi respons juga boleh menimbulkan kekeliruan terutama dalam situasi sensitif.
"Sekarang ini 24 jam terlalu lama untuk memberikan maklum balas kerana kita tidak boleh lagi menunggu sehari untuk menjawab sesuatu isu," jelas beliau.
Beliau turut menyentuh beberapa insiden dalam dan luar negara termasuk isu di Sabah yang tular sebelum siasatan selesai sebagai contoh bagaimana naratif tidak tepat boleh mencetuskan ketegangan dan salah faham berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen untuk membantu WAJAR sebagai usaha memperkukuh peranan media dalam menjaga kestabilan, keharmonian dan penyatuan masyarakat.
“Saya berharap pengamal media akan terus komited menegakkan kebenaran dan integriti kerana di bahu saudara terletak amanah besar membina keyakinan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

