Insiden serangan wartawan jejas penyampaian maklumat tepat, bebas tekanan

Laporan Sinar Harian mengenai seorang wartawan sukan dan pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol diserang dua individu ketika ingin masuk ke dalam keretanya di Bangsar pada Selasa.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang wartawan sukan dan pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol diserang dua individu ketika ingin masuk ke dalam keretanya di Bangsar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak digesa menghormati ruang kerja wartawan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

Majlis Media Malaysia (MMM) dalam satu kenyataan berkata, insiden yang menghalang tugas kewartawanan memberi kesan terhadap kepentingan awam kerana ia menjejaskan penyampaian maklumat yang tepat dan bebas tekanan kepada masyarakat.

“Kami menekankan bahawa keselamatan petugas media adalah asas kepada kewujudan ekosistem media yang bebas dan bertanggungjawab,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, seorang wartawan sukan dan pengasas TwentyTwo13, Haresh Deol, diserang dua individu ketika ingin masuk ke dalam keretanya di Bangsar pada Selasa.

Menerusi akaun aplikasi X miliknya, Haresh memaklumkan bahawa beliau diserang dua individu dan salah seorang turut merakam video ketika serangan berlaku.

Menurut kenyataan MMM, pihaknya turut menyatakan solidariti dengan Haresh dan seluruh komuniti wartawan yang terus berkhidmat demi kebenaran serta kepentingan rakyat.

“Sifat serangan itu, termasuk tindakan individu ketiga yang merakam insiden serangan tersebut, menimbulkan anggapan bahawa ia telah dirancang dan bukan serangan secara rawak.

“MMM percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sewajarnya secara adil serta profesional,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan berhubung insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“MMM menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap sebarang bentuk keganasan atau intimidasi terhadap petugas media.

“Tindakan sedemikian, tanpa mengira motif, mencetuskan implikasi lebih luas terhadap kebebasan media dan kemampuan wartawan menjalankan tugas secara bebas, selamat dan beretika,” menurut kenyataan itu.

Ringkasan AI

  • Semua pihak digesa menghormati ruang kerja wartawan dan mengelakkan tindakan menjejaskan keselamatan mereka
  • Keselamatan petugas media adalah asas kepada ekosistem media yang bebas dan bertanggungjawab
  • Wartawan sukan, Haresh Deol, diserang dua individu di Bangsar, salah seorang rakam video serangan
  • Majlis Media Malaysia (MMM) menyatakan solidariti dengan Haresh dan komuniti wartawan, menekankan serangan dirancang bukan rawak
  • MMM mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menzahirkan kebimbangan terhadap keganasan atau intimidasi terhadap media

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!