Selangor ambil langkah atasi lambakan hasil pertanian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bakal melaksanakan beberapa langkah bagi mengatasi lambakan hasil pertanian yang tidak terjual dalam pasaran berikutan masalah dalam rantaian pembekalan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan itu akhirnya membawa kepada pembuangan dan pembaziran.

Amirudin Shari
Amirudin Shari

"Pagi tadi saya mendengar taklimat daripada Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim serta agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Pertanian Kerajaan Negeri Selangor.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan beberapa langkah untuk fasa pertama dan yang paling segera akan dilaksanakan ialah Selangor Agro Market," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM1 juta dalam bentuk dana kitaran akan disediakan bagi memanfaatkan sembilan outlet bagi tujuan penyimpanan dan jualan bahan-bahan asas seperti sayuran dan ayam.

"Langkah yang akan diselaraskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berkonsepkan preorder penghantaran ataupun offline (walk-in) berkuat kuasa esok," katanya.

Katanya, fasa kedua pula akan melibatkan perbincangan dengan pasaraya utama bagi bekalan dan edaran bahan-bahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat utama inisiatif terbaharu ini semata-mata untuk memastikan pengguna mendapatkan bahan segar, membantu pengguna mendapatkan barangan pada harga berpatutan dan membantu petani serta nelayan agar rangkaian bekalan tidak terputus.

"Ini adalah inisiatif sepenuhnya kerajaan negeri," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pengumuman fasa kedua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin akan diumumkan minggu hadapan.