'Robin Hood' dalang sindiket dadah RM76 juta dicekup

KUALA SELANGOR – Watak 'Robin Hood' dimainkan seorang lelaki tempatan dalam kalangan penduduk kampung akhirnya terbongkar selepas polis mengenal pasti suspek sebenarnya dalang utama sindiket memproses dan mengedar dadah yang berselindung di sebalik perniagaan besi buruk, ladang ayam dan lembu.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai selama ini menunjukkan imej dermawan, sering memberi bantuan kewangan serta mudah menghulur pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan, sekali gus menjadikannya ‘topeng’ sempurna untuk menyembunyikan kegiatan jenayah yang dijalankan sejak awal tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, taktik licik suspek akhirnya dihidu selepas polis menjalankan risikan selama lima bulan sebelum melancarkan empat siri serbuan sekitar Lembah Klang pada 19 November lalu.
"Suspek ini adalah ketua sindiket serta mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.
"Kegiatan sindiket ini sangat tersusun menggunakan beberapa lokasi termasuk rumah sewa, stor simpanan dan sebuah gudang besi buruk yang dijadikan makmal pemprosesan dadah berskala besar," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini pada Isnin.

Hussein berkata, serbuan pertama dilakukan di Bukit Rahman Putra, Shah Alam yang membawa kepada penahanan ketua sindiket ini.
"Suspek ditahan bersama rampasan lima kilogram methamphetamine, heroin base dan wang tunai RM1 juta.
"Serbuan kedua pula di sebuah rumah di Bestari Jaya menahan tujuh lelaki termasuk dua warga asing yang dipercayai membantu operasi pemprosesan dan penghantaran dadah dalam rangkaian itu," katanya.
Menurutnya, serbuan ketiga menjadi penemuan terpenting apabila polis menyerbu sebuah gudang besi buruk di Batang Berjuntai yang dikesan sebagai makmal utama sindiket.
"Serbuan ini menemukan tong warna putih disyaki mengandungi cecair dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 1,300 kilogram.
"Selain itu, turut ditemui 43 tong berwarna hitam juga mengandungi cecair dadah yang sama seberat 1,075 kilogram serta pelbagai mesin dan peralatan memproses dadah," katanya.

Tambahnya, lokasi serbuan itu turut terdapat ladang ternakan ayam dan lembu selain kedudukannya yang tersorok.
"Serbuan terakhir kemudian dijalankan di kawasan Bestari Jaya sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan.
"Secara keseluruhan, polis merampas 2,381 kilogram dadah dengan nilai RM76.2 juta yang mampu menampung hampir 12 juta pengguna," katanya.
Hussein berkata, nilai keseluruhan rampasan serta sitaan termasuk wang tunai dan dua kenderaan mewah mencecah RM77.46 juta.
"Sindiket dipercayai mempunyai struktur lengkap merangkumi kewangan, proses, edaran dan penyelarasan, malah dipercayai mendapatkan bekalan bahan 'base' dadah dari sebuah negara utara bagi menghasilkan syabu dalam jumlah besar.
"Taktik menunjukkan diri sebagai orang baik dalam kalangan penduduk kampung adalah strategi mereka untuk mengaburi mata masyarakat, hakikatnya, mereka menjalankan operasi dadah berskala besar," katanya.
Ujarnya, saringan awal mendapati tiga daripada sembilan suspek positif dadah.
"Kesemua suspek direman antara tujuh hingga 10 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kejayaan ini hasil kerjasama orang awam dan risikan berterusan dan polis sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.
Ringkasan AI
- Watak 'Robin Hood' akhirnya terbongkar sebagai dalang utama sindiket dadah
- Suspek menggunakan perniagaan besi buruk, ladang ayam dan lembu sebagai topeng kegiatan
- Polis menjalankan risikan selama lima bulan sebelum melancarkan empat siri serbuan
- Sindiket sangat tersusun, menggunakan gudang besi buruk sebagai makmal pemprosesan dadah besar-besaran
- Polis merampas 2,381 kilogram dadah dengan nilai RM76.2 juta, mencegah penggunaan oleh hampir 12 juta pengguna
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

