500 penduduk kampung di Kuala Krai terkepung, tiga jambatan ditenggelami banjir

Hujan lebat lebih tiga jam, penempatan rendah Kuala Krai dinaiki banjir lebih 3 meter

Penduduk melihat Jambatan Tanjung Kala yang dilimpahi sungai hingga tidak dapat dilalui.
Penduduk melihat Jambatan Tanjung Kala yang dilimpahi sungai hingga tidak dapat dilalui.
A
A
A

KUALA KRAI - Hujan lebat berterusan lebih tiga jam di daerah ini pada Rabu mengakibatkan kawasan penempatan penduduk di kawasan rendah berhampiran lembangan sungai di Kuala Pertang ditenggelami air melebihi paras tiga meter.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 500 penduduk dari empat kampung, Kampung Mial, Tanjung Kala, Sungai Tasan dan Ladang Kuala Pertang terkepung selepas tiga jambatan utama yang menjadi laluan keluar masuk kampung tersebut ditenggelami air.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Adnan Mat Yassin berkata, situasi tersebut memaksa penduduk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan cuaca gelap dan sejuk.

Penduduk menggunakan bot untuk berpindah ke PPS.
Penduduk menggunakan bot untuk berpindah ke PPS.

“Hujan bermula jam 5 petang dan semakin lebat menjelang tengah malam.

“Kira-kira jam 3 pagi, air naik menyebabkan penduduk segera berpindah menggunakan bot ke PPS di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurutnya, semua penduduk terbabit kini selamat ditempatkan di PPS yang berada di kawasan lebih tinggi, dengan bekalan makanan, selimut dan khemah yang telah disediakan lebih awal oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Walaupun sudah berlindung di PPS, mereka tetap terkepung kerana jambatan Kuala Pertang, Kampung Mial dan Sungai Tasan masih ditenggelami air sedalam satu meter,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga di Bukit Temiang dibantu penduduk kampung untuk dipindahkan pada pagi Rabu selepas sungai melimpah dan menutupi laluan utama ke kawasan berkenaan.

Adnan memaklumkan bahawa arus deras di kawasan sungai menyukarkan usaha menyelamat dan penghantaran bantuan.

“Kebiasaannya kami boleh bergerak menyusuri sungai dan masuk ke ladang kelapa sawit untuk sampai ke rumah-rumah penduduk.

“Tetapi malam tadi air terlalu laju dan dalam, berbahaya untuk bot kecil,” katanya.

Kuala Krai kini berdepan gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL) yang turut memberi kesan kepada daerah Tanah Merah, Gua Musang dan Machang, dengan Kuala Krai antara lokasi awal yang merasai peningkatan paras air sungai.

Ringkasan AI

  • Hujan lebat berterusan lebih tiga jam di Kuala Krai menyebabkan banjir
  • Kira-kira 500 penduduk dari empat kampung terkepung akibat tiga jambatan utama ditenggelami air
  • Penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam cuaca gelap dan sejuk
  • Penduduk selamat ditempatkan di PPS dengan bekalan makanan, selimut dan khemah disediakan oleh JKM
  • Kuala Krai berdepan gelombang pertama Monsun Timur Laut yang memberi kesan kepada kenaikan paras air sungai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!