Perak tubuh pusat pemprosesan kopi pertama

TAPAH - Industri kopi Perak melangkah ke fasa baharu dengan penubuhan Pusat Pemprosesan Kopi Perak, kemudahan pertama seumpamanya di negeri ini yang diwujudkan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian.
Pusat pemprosesan yang terletak di Jalan Damai, Tapah itu dibangunkan di atas keluasan 0.04 hektar dengan kos sebanyak RM100,000 dan dilengkapi peralatan moden termasuk Depulper, Husker, Dryer, Moisture Meter dan Grading Machine.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pusat itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam melestarikan pembangunan industri kopi serta memperkukuh kedudukan Perak sebagai antara pengeluar utama kopi Liberica.
"Selain ruang operasi, pusat ini juga berfungsi sebagai One Stop Centre bagi sesi libat urus petani dan usahawan.
"Kemudahan menyeluruh ini dapat meningkatkan kecekapan rantaian pemprosesan, mengurangkan kerugian selepas tuaian serta mengekalkan kualiti biji kopi tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat pemprosesan itu pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Mohd Zolkafly berkata, pusat pemprosesan berkenaan akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Disember depan.
Katanya, setakat ini, pusat itu mempunyai kapasiti memproses 12 metrik tan setahun, membolehkan petani dari seluruh negeri menghantar biji kopi untuk diproses sehingga peringkat kopi beras, sekali gus memudahkan urusan pembelian melalui usahawan yang dilantik sebagai pengurus operasi pusat.
"Kerajaan negeri juga berhasrat memperluas pusat ini secara berskala dengan penggunaan teknologi moden termasuk IoT (Internet Kebendaan) bagi meningkatkan pengeluaran dan pemprosesan kopi. Kita akan bawa perkara ini kepada kementerian dalam masa terdekat," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sehingga 2025, jumlah keluasan aktif tanaman kopi Liberica di negeri ini adalah 29.41 hektar dengan sasaran produktiviti 8 metrik tan per hektar setahun, menghasilkan kira-kira 235 metrik tan kopi bernilai RM1.76 juta setahun.
Katanya, dengan penambahan 15 hektar kawasan tanaman baharu menjelang 2026, industri kopi dijangka terus berkembang dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kita juga boleh usahakan kolaborasi bersama RISDA dengan menanam kopi secara campuran dengan tanaman getah sebagai tanaman sampingan. Langkah ini boleh membantu usaha kerajaan negeri memperluas keluasan tanaman dan meningkatkan bilangan pengusaha kopi, terutama di luar bandar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

