'Tahun ini kami tak berdebar sambut tengkujuh'

Kerja-kerja pembersihan longkang yang giat dijalankan pihak kontraktor dilantik bermula 19 November lalu. Gambar kecil dari kiri: Asri, Azizan dan Nasaruddin.
Kerja-kerja pembersihan longkang yang giat dijalankan pihak kontraktor dilantik bermula 19 November lalu. Gambar kecil dari kiri: Asri, Azizan dan Nasaruddin.
A
A
A

KUANTAN – Masalah perparitan dan isu banjir kilat yang dibangkitkan wakil penduduk Taman Indera Sempurna dalam sesi Townhall Rakyat Sinar Harian pada 11 November lalu yang mendapat perhatian segera Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kini dalam tindakan pihak berkuasa.

Susulan itu, penduduk di kawasan rendah sekitar taman perumahan berkenaan menarik nafas lega dan tidak lagi risau menghadapi musim tengkujuh selepas longkang utama yang dipenuhi tumbuhan liar serta sampah mula dibersihkan sejak beberapa hari lalu.

Kerja-kerja penyelenggaraan longkang utama atau longkang monsun sepanjang 2.2 kilometer yang bermula sejak 19 November memberi kelegaan kepada penduduk setempat, khususnya mereka yang saban tahun berdepan risiko banjir.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Indera Sempurna Fasa 3B, Asri Mansor mendakwa, longkang yang dipenuhi tumbuhan liar dan sampah yang tidak diselenggara menjadi punca aliran air tersekat dan melimpah setiap kali hujan lebat berterusan.

Menurutnya, rata-rata penduduk di kawasan rendah terutamanya di Taman Indera Sempurna Fasa 2, Fasa 5, PR1MA PUJ dan Fasa 3B seolah-olah sudah lali dengan situasi tersebut saban tahun.

Mohd Qiuzi Iqbal meninjau kerja-kerja pembersihan longkang pada Isnin.
Mohd Qiuzi Iqbal meninjau kerja-kerja pembersihan longkang pada Isnin.

"Sejak kejadian banjir buruk pada 18 Disember 2021 dengan paras air mencecah satu meter, penduduk mula risau setiap kali hujan lebat, lebih-lebih lagi apabila tiba musim tengkujuh.

"Walaupun tidak seteruk di tempat lain, kami percaya keadaan banjir di sini mungkin lebih terkawal jika longkang utama diselenggara secara berkala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Asri berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai lawatan bersama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dr Mohd Qiuzi Iqbal Mohd Sabari, meninjau kerja-kerja pembersihan longkang pada Isnin.

Beliau berkata, penduduk amat menghargai tindakan pantas kerajaan negeri dan semua agensi yang segera menyelesaikan masalah tersebut.

"Kerja-kerja pembersihan berjalan lancar dan menurut pihak kontraktor, ia dijangka siap sepenuhnya minggu depan," katanya.

Ahli Jawatankuasa KRT Taman Indera Sempurna Fasa 3B, Azizan Azid, 58, pula berkata, bunyi jengkaut mengeruk longkang memberi kelegaan dan harapan kepada penduduk untuk melihat penyelesaian terhadap masalah banjir kilat yang dihadapi.

"Sebelum ini, setiap kali awan gelap muncul, kami bimbang dan berdebar. Kini perasaan itu agak reda apabila longkang mula dibersihkan dan aliran air kembali lancar.

"Tahun ini kami sambut musim tengkujuh dengan lebih tenang, tidak berdebar seperti sebelum ini," katanya.

Pengerusi JPKK Kampung Seri Melati, Nasaruddin Mohd Nadzri turut menyatakan bahawa longkang utama di kawasan itu perlu diselenggara secara berkala memandangkan keadaan cuaca kini sukar dijangka.

"Kerja-kerja pembersihan ini memberi sinar harapan kepada penduduk dan diharap kejadian banjir buruk seperti pada 2021 dapat dielakkan,” katanya.

Taman Indera Sempurna yang menempatkan kira-kira 4,300 rumah dengan lebih 22,000 penduduk sangat bergantung kepada sistem perparitan yang baik, memandangkan sebahagian kawasan berada di lokasi rendah dan mudah dinaiki air.

Masalah perparitan dan banjir kilat yang dibangkitkan dalam sesi Townhall Rakyat Sinar Harian turut mendapat perhatian segera Wan Rosdy, dan lawatan tapak telah dilakukan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.

Fokus utama lawatan tersebut ialah meneliti kerosakan pada longkang utama serta masalah banjir berulang yang menjejaskan penduduk setempat.

Ringkasan AI

  • Masalah perparitan dan banjir kilat di Taman Indera Sempurna mendapat perhatian Menteri Besar Pahang untuk tindakan segera
  • Penduduk kawasan rendah lega dengan pembersihan longkang utama yang dipenuhi sampah dan tumbuhan liar
  • Pembersihan longkang sepanjang 2.2 kilometer bermula 19 November memberi harapan kepada penduduk mengelakkan risiko banjir
  • Penduduk menghargai tindakan pantas kerajaan negeri dan agensi terlibat dalam menyelesaikan masalah banjir
  • Taman Indera Sempurna bergantung kepada sistem perparitan yang baik, memandangkan lokasi di kawasan rendah dan mudah dinaiki air

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!