JAIS siasat satu kes takfiri di Selangor

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya menerima satu laporan berkaitan kesalahan takfiri direkodkan di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, laporan berhubung perbuatan takfir tertakluk di bawah Subseksyen 6(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 itu diterima pada 30 Oktober lalu.
Bagaimanapun, katanya, kes itu kini masih dalam siasatan JAIS untuk tindakan lanjut.
"Peruntukan undang-undang berkaitan perbuatan takfir di negeri ini termaktub di bawah Seksyen 6 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
"Seksyen itu menetapkan perbuatan mengkafirkan individu atau kumpulan beragama Islam sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, beberapa ajaran sesat difatwakan sebelum ini turut dikenal pasti mengandungi unsur takfir antaranya Ajaran Islam Jamaah, Ajaran Negara Islam Indonesia dan Ajaran Hizbut Tahrir.
Beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan pernah dilakukan terhadap kumpulan berkenaan termasuk penahanan 35 individu bagi Ajaran Islam Jamaah di Klang pada 2017, manakala Ajaran Negara Islam Indonesia didapati tidak lagi aktif dan tiada tangkapan dibuat.
"Bagi Ajaran Hizbut Tahrir pula, seramai 22 individu ditahan di Bangi, Shah Alam dan Hulu Selangor dalam tindakan penguatkuasaan antara 2015 hingga 2019.
"Semua mereka telah didakwa, disabit kesalahan dan dikenakan hukuman denda serta penjara oleh Mahkamah Syariah," jelas beliau.
Ringkasan AI
- JAIS hanya terima satu laporan kesalahan takfiri di Selangor
- Kes masih dalam siasatan JAIS untuk tindakan lanjut
- Perbuatan takfir boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun
- Beberapa ajaran sesat mengandungi unsur takfir telah difatwakan
- Tindakan penguatkuasaan terhadap kumpulan berkenaan termasuk penahanan individu dan penjara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

