Jangan bertangguh kalau nak ziarah orang sakit

BEBERAPA minggu ini, Merak Jalanan menerima banyak berita sedih. Seorang demi seorang rakan terdekat pergi menghadap Ilahi.
Sebagai hambaNya, kita perlu reda. Sesungguhnya mati itu pasti dan tidak ada siapa pun yang boleh mengelaknya. Cepat atau lambat, hanya Dia yang maha mengetahui.
Namun, satu perkara yang Merak Jalanan perasan ialah kebiasaan orang kita yang boleh diubah iaitu sikap sering bertangguh apabila mendengar khabar seseorang sedang sakit.
‘Nantilah’, ‘tunggu cuti’, ‘tunggu hujung minggu’ dan pelbagai lagi alasan yang kerap kita dengar, sedangkan masa yang kita ada hari ini belum tentu ada esok.
Perasan tak, kadangkala Tuhan izinkan kita untuk bertemu dengan rakan yang sedang terlantar tetapi ada waktunya kita terlepas detik-detik terakhir mereka, hanya kerana menunggu hari ‘lebih sesuai’. Inilah perkara yang wajar kita ubah.
Merak Jalanan sendiri bercakap berdasarkan pengalaman. Pernah bertangguh, sehingga akhirnya tidak sempat bertemu ketika dia masih bernyawa.
Hanya mampu menziarah sekujur tubuh yang sudah pun kaku. Bila perkara itu terjadi, rasa terkilan itu sukar digambarkan. Ia menjadi penyesalan yang sesekali muncul dan membuatkan menjadi sayu setiap kali terkenang.
Disebabkan itulah Merak Jalanan ingin mengingatkan pembaca setia Sinar Harian, jika kita mendengar khabar seseorang sedang sakit dan hati terdetik untuk menziarahinya, pergilah segera.
Tidak perlu tunggu masa yang ‘sempurna’ kerana masa yang sempurna selalunya hanya alasan untuk bertangguh.
Jika umurnya panjang, alhamdulillah kerana kita masih berpeluang bertemu lagi selepas dia pulih. Tetapi jika ajalnya tiba lebih awal, sekurang-kurangnya kita tidak menyalahkan diri sendiri kerana pilihan bertangguh itu tadi.
Oleh itu, jauhkan dari sikap menunggu waktu yang sesuai, melainkan anda benar-benar tidak mempunyai pilihan. Jika itu yang berlaku, doakanlah semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
Ringkasan AI
- Jika kita mendengar khabar seseorang sedang sakit dan hati terdetik untuk menziarahinya, pergilah segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
