Kuasa gesa projek rintis REE di Kenering digantung

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa kerajaan menggantung serta-merta projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Kenering, Hulu Perak susulan pendedahan bacaan radiasi yang didakwa jauh melepasi had dibenarkan.

Presidennya, Siti Hawa Abd Wahid berkata, projek tersebut yang sebelum ini digambarkan sebagai selamat dan bebas risiko radioaktif kini menimbulkan kebimbangan besar selepas bacaan radiasi dilaporkan mencecah 13 becquerel per gram (Bq/g) iaitu 13 kali ganda lebih tinggi daripada paras kelulusan.

Menurut beliau, situasi itu bukan lagi isu kecuaian tetapi kegagalan sistemik yang membawa implikasi serius terhadap keselamatan awam.

"Ini pengkhianatan kepada rakyat. Projek ini dijual kepada orang awam dengan maklumat mengelirukan.

"Bacaan radiasi yang tinggi ini membuktikan ia bukan sekadar pelanggaran SOP, tetapi kegagalan ketelusan dan kawal selia," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Siti Hawa berkata, penggantungan operasi secara tergesa-gesa serta kemungkinan berlakunya pelepasan radionuklid daripada tanah sebagai bukti projek berkenaan tidak terkawal dan tidak selamat.

Menurutnya, kesan radiasi bukan sekadar teori akademik kerana ia boleh mengundang risiko mutasi, kanser, pencemaran sumber air serta bioakumulasi dalam rantaian makanan.

Katanya, Kenering merupakan kawasan sensitif dalam rangkaian Central Forest Spine (CFS) yang menjadi ekosistem penting negara, justeru tindakan meletakkan projek perlombongan berisiko di kawasan itu disifatkan sebagai cuai dan tidak bertanggungjawab.

Beliau turut mempertikaikan laporan audit terdahulu yang didakwa mematuhi garis panduan namun pendedahan radiasi melepasi had membuktikan sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, jelas Siti Hawa, Kuasa mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan bagi memastikan keselamatan awam dan ketelusan proses iaitu penggantungan serta-merta dan mengekalkan moratorium terhadap projek REE di Kenering sehingga siasatan bebas diselesaikan.

Katanya, audit radiasi oleh pakar bebas antarabangsa bukan laporan dalaman pihak berkepentingan mesti dilakukan selain siasatan dibuat terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyembunyikan maklumat risiko radiasi.

Menurutnya, Kuasa turut menuntut pendedahan penuh semua data teknikal termasuk bacaan radiasi dan kualiti air serta reformasi terhadap dasar perlombongan REE supaya keputusan dibuat berdasarkan prinsip pencegahan dan keselamatan.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak ketelusan serta akauntabiliti bagi memastikan keselamatan rakyat tidak dikorbankan demi keuntungan pihak tertentu.

Media sebelum ini melaporkan bacaan radiasi di salah satu lombong yang digantung operasinya susulan insiden pencemaran air sungai bertukar warna biru di Perak pada Oktober lalu didapati jauh melebihi had.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Johari Abdul Ghani dilaporkan memberitahu Kamar Khas Dewan Rakyat pada Rabu bahawa bacaan sisa daripada proses pelarutan in-situ di lombong terbabit mencecah 13 Bq/g berbanding had 1 becquerel yang ditetapkan dalam laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) tapak berkenaan.

Ringkasan AI

  • Persatuan Aktivis Sahabat Alam menggesa kerajaan menggantung projek perlombongan nadir bumi di Kenering, Hulu Perak kerana bacaan radiasi melepasi had
  • Bacaan radiasi dilaporkan 13 kali ganda lebih tinggi daripada paras kelulusan
  • Siti Hawa Abd Wahid menyatakan situasi itu sebagai kegagalan sistemik yang mengancam keselamatan awam
  • Kesan radiasi boleh menyebabkan mutasi, kanser, dan pencemaran sumber air
  • Kuasa mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan untuk memastikan keselamatan awam dan ketelusan proses

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!