Hasil tangkapan jadi 'modal hidup' nelayan hadapi musim tengkujuh

KUANTAN - Hasil tangkapan sepanjang tahun bukan sekadar rezeki harian buat nelayan, tetapi ia menjadi ‘modal hidup’ untuk bertahan ketika Monsun Timur Laut (MTL) melanda setiap November hingga Mac.
Mohamad Maidin, 63, berkata, sebahagian hasil laut yang dijual dijadikan wang simpanan bagi memastikan kelangsungan hidup apabila mereka tidak mampu turun ke sungai atau laut untuk tempoh panjang.
“Hasil yang dapat kadang-kadang dijual dan duit itu saya simpan sikit demi sedikit.
“Bila hujung tahun macam ini, barulah saya guna untuk keperluan harian dan begitu cara saya berjimat cermat kerana musim ini tiada pendapatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Bapa kepada enam beranak itu memberitahu, persiapan dilakukan setiap kali musim tengkujuh bagi mengelak sebarang kerugian.
Ujarnya, bot yang berada di sungai dinaikkan ke darat dan diikat, manakala semua peralatan dikemas rapi.
“Biasanya tempoh tiga hingga empat bulan hujung tahun macam inilah, bot kecil memang tidak turun ke laut.
“Jadi mahu tidak mahu saya simpan peralatan, kalau tidak susah hendak turun ke laut apabila musim sudah reda,” katanya yang lebih 20 tahun menjadi nelayan sungai.
Sementara itu, Mohamad Jamali Yusof, 50, turut berkongsi pengalaman sama dan mengakui keadaan cuaca tidak menentu memberi tekanan dari sudut pendapatan.
Jelasnya, hanya segelintir nelayan yang turun ke laut pada musim ini dengan bergantung sepenuhnya kepada keadaan.
“Memang kena harung juga kalau rasa boleh keluar dan saya pernah ambil risiko sama bagi mencari rezeki.
“Setakat ini, alhamdulillah, tiada kemalangan serius berlaku kerana saya beringat,” katanya sambil menambah beliau mempunyai pekerjaan sampingan lain.
Jamali yang memiliki bot fiber sepanjang 20 hingga 21 kaki memberitahu, kesemua peralatan disimpan rapi setiap musim monsun.
“Rutin kita pastikan semua peralatan selamat dan guna duit simpan sikit sebagai modal harian untuk kelangsungan hidup,” jelasnya.
Mohamad Jamali mengakui ada menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, terutama sumbangan makanan.
“Boleh kata meringankan beban sedikit, walaupun tidak sepenuhnya,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Hasil tangkapan nelayan menjadi 'modal hidup' untuk bertahan ketika Monsun Timur Laut melanda setiap November hingga Mac
- Sebahagian hasil laut dijual dan disimpan untuk memastikan kelangsungan hidup apabila tidak mampu turun ke laut
- Persiapan seperti menarik bot ke darat dan mengemas rapi peralatan dilakukan setiap kali musim tengkujuh
- Hanya segelintir nelayan yang turun ke laut pada musim ini, bergantung sepenuhnya kepada keadaan cuaca
- Nelayan menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, terutama sumbangan makanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

