Syarikat pencetak akhbar gembira keputusan kerajaan benar pengeluar dakwat beroperasi semula

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pencetak akhbar gembira dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk membenarkan sebuah syarikat pengeluar dakwat beroperasi semula ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Operasi Ultimate Print Sdn Bhd, Akmal Eirfan Mohamad Fauzi, keputusan itu memberikan kelegaan kepada semua penerbit akhbar di negara ini yang bakal kehabisan stok masing-masing menjelang hujung bulan ini.

"Rayuan telah dibuat kepada Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia supaya kerajaan membenarkan kilang dakwat beroperasi semula. Ini kerana dakwat adalah sangat penting bagi membolehkan akhbar dicetak.

"Berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, akhbar turut termasuk dalam senarai yang dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP. Jadi keputusan kerajaan telah memberikan kelegaan kepada kami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Selasa lalu, sebuah akhbar melaporkan dua buah syarikat pengedar dakwat tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP menyebabkan syarikat percetakan akhbar tempatan berhadapan dengan masalah.

Difahamkan dua buah syarikat pengeluar dakwat itu telah membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membolehkan mereka meneruskan operasi namun permintaan salah sebuah syarikat itu telah ditolak.

Sementara itu, sumber industri memaklumkan bahawa dua buah kilang terbabit telah diberikan kebenaran untuk beroperasi semula daripada pihak kementerian dan mereka akan mula bekerja hari ini.

Dalam pada itu, Akmal Eirfan berkata, kerajaan juga perlu memberikan kebenaran khas bagi membolehkan beberapa lagi barang yang perlu dan penting untuk industri percetakan akhbar.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap kebenaran bagi mendapatkan bekalan dakwat ini dapat diperluaskan lagi supaya operasi kami tidak berhadapan dengan masalah sepanjang tempoh ini," katanya.

Menurut Pengurus Besar Print Towers Sdn Bhd, Sazali Hashim, pihaknya melahirkan kebimbangan apabila kerajaan mengumumkan tempoh PKP dilanjut dua minggu lagi kerana stok dakwat bagi syarikat itu semakin kurang.

"Kami gembira dengan keputusan terbaru ini tetapi dalam masa yang sama bukan sahaja dakwat penting tetapi plate percetakan dan bahan kimia percetakan juga perlu bagi membolehkan operasi mencetak akhbar dapat diteruskan," katanya.

Bagi Pengurus Kanan Percetakan Akhbar The Star, Mohamed Hassan Mohamed Ali berkata, stok yang tinggal hanya mampu bertahan hingga 30 Mac ini sahaja dan bimbang sekiranya akhbar itu tidak dapat dicetak.

"Kami amat lega dengan keputusan membenarkan dua buah syarikat ini beroperasi semua tetapi dalam mengharapkan kerajaan membenarkan syarikat yang mengeluarkan plate dan bahan kimia percetakan untuk diberikan kebenaran yang serupa," katanya.