Projek rumah disahkan sakit, LPHP-JPN adakan perbincangan susulan

IPOH - Projek perumahan di Lahat di sini yang menjadi harapan kira-kira 150 pembeli, disahkan berstatus projek sakit sejak 10 April lalu, kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng.
Beliau berkata, status itu direkodkan menerusi Sistem TEDUH (Sistem Bank Data Perumahan Negara), susulan kegagalan pemaju menepati tarikh penyerahan rumah seperti ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB).
Menurutnya, satu lawatan tapak telah dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekitar Februari lepas untuk menilai kemajuan fizikal serta mengenal pasti faktor utama kelewatan projek.
"Selepas projek dikategorikan sebagai projek sakit, Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) mengambil langkah segera dengan mengadakan sesi perbincangan bagi mendapatkan status terkini dan isu yang dihadapi pihak pemaju.
"Dalam mesyuarat pada 23 Jun tersebut, JPN dan LPHP dimaklumkan terdapat beberapa peruntukan dalam perjanjian pembangunan antara pemilik tanah dan pemaju yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerja dapat diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sandrea berkata, setakat ini pemaju masih menunjukkan minat untuk meneruskan pembangunan projek tersebut, namun belum mengemukakan sebarang pelan tindakan atau hala tuju jelas bagi mengaktifkan semula kerja di tapak.
Beliau menegaskan bahawa JPN dan LPHP akan mengadakan perbincangan susulan bersama semua pihak berkaitan bagi merangka pendekatan terbaik untuk memulihkan projek itu dan memastikan kepentingan pembeli tidak terus terjejas.
“Pemaju bertanggungjawab memaklumkan perkembangan terkini kepada pembeli dari semasa ke semasa.
"Pembeli juga boleh melayari portal TEDUH KPKT untuk membuat semakan berkaitan status projek," tambahnya.
Sinar Harian melaporkan kekecewaan lebih 150 pembeli yang mendakwa projek itu terbengkalai walaupun dijanjikan siap pada April lalu.
Tinjauan di tapak mendapati kawasan berkenaan ibarat padang jarak, dengan hanya dua blok bangunan didirikan tetapi tidak siap, manakala selebihnya masih berupa tanah kosong dan tiang konkrit.
Lebih membebankan, ramai pembeli mengadu sudah mula membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan antara RM300 hingga RM800 kepada bank meskipun rumah yang dijanjikan masih belum wujud.
Ringkasan AI
- Projek perumahan di Lahat, Ipoh disahkan berstatus projek sakit sejak 10 April lalu
- Status sakit direkodkan menerusi Sistem TEDUH kerana kegagalan pemaju menepati tarikh penyerahan rumah
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menjalankan lawatan tapak untuk menilai kemajuan fizikal
- Pemaju masih menunjukkan minat untuk meneruskan pembangunan projek tetapi belum mengemukakan pelan tindakan
- Lebih 150 pembeli kecewa kerana projek terbengkalai dan telah mula membayar ansuran bulanan kepada bank
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

