Amalan ADUN jadi 'Yang Berniaga' punca infrastruktur di Sabah rosak, tiada kualiti - Aliakbar

KOTA KINABALU - Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa budaya pemimpin yang menjadikan jawatan politik sebagai platform untuk berniaga akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa.
Menurut calon PN bagi DUN Karambunai itu, rakyat hanya mampu melihat kekayaan pemimpin sedangkan kemudahan dan infrastruktur terjejas akibat amalan tersebut.
"Ingatlah, bila ahli politik itu punya mindset 'YB' sebagai 'Yang Berniaga’, maka rakyat di bawahlah yang menjadi mangsanya," katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Katanya lagi, seseorang yang terlibat dalam politik sepatutnya tidak menjadikan jawatan yang ada sebagai peluang untuk mengaut kekayaan.
"Kalau dia mahu jadi orang politik dengan angan-angan untuk bina rumah besar, gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ini bukan besar, peruntukan bukan untuk wakil rakyat adalah peruntukan untuk rakyat.
"Jadi dari mana dia mahu beli rumah yang besar, kereta yang besar? Mesti dia akan ada rakan niaga. Rakan niaga ini siapa? Kontraktor. Jadi bila sudah berkawan dengan kontraktor, berbincang dengan kontraktor, dia cari kontrak, jumpa orang-orang tertentu, jumpa jabatan kerajaan, dapat kontrak dia bagi pada kontraktor.
"Maka akhirnya jadilah dia YB 'Yang Berniaga'. Bila kontraktor sudah keluar duit, siapa yang jadi mangsa?" katanya.
Aliakbar yang sebelum ini sebagai ADUN dilantik berkata, amalan tersebut akhirnya menyebabkan infrastruktur rosak, tidak berkualiti dan memberi kesan paling besar kepada rakyat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Aliakbar berdepan saingan 11 penjuru di DUN Karambunai yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Ringkasan AI
- Timbalan Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyatakan budaya pemimpin menggunakan jawatan politik untuk berniaga merugikan rakyat
- Rakyat terjejas kerana kemudahan dan infrastruktur tidak berkembang akibat amalan tersebut
- Aliakbar mengkritik pemimpin yang mempunyai mindset 'Yang Berniaga' yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa
- Beliau berpendapat pemimpin politik tidak seharusnya menjadikan jawatan sebagai cara untuk mengaut kekayaan
- Amalan tersebut menyebabkan infrastruktur rosak dan tidak berkualiti, memberi kesan buruk kepada rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
