PRN Sabah: Sanusi jelaskan isu cukai pintu, roti Gardenia

KOTA KINABALU - Isu dakwaan kenaikan cukai pintu sehingga 245 peratus di Kedah yang dibawa ke pentas ceramah politik di Sabah disifatkan sebagai putaran naratif sengaja direka, sehingga turut mencetuskan polemik roti Gardenia yang dianggap mengguris hati rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan bagaimana isu roti menjadi besar dan kini hangat di Sabah serta dijadikan bahan kempen oleh pihak lawan.
"Berkaitan isu roti itulah, benda kecil yang dibesarkan kerana tak ada benda besar (berlaku di Kedah), jadi benda yang kecil, benda yang jauh dibawa ke sini untuk dibesarkan untuk memberi nama tidak baik kepada Perikatan Nasional (PN).
"Berikan saya dua, tiga minit untuk buat sedikit penjelasan bagaimana ucapan itu keluar daripada Yang Berhormat Kuala Ketil (Exco Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mansor Zakaria). Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) yang bercadang memohon kebenaran kerajaan untuk membuat semakan semula cukai pintu," katanya.
Menjelaskan dakwaan cukai pintu tersebut, Sanusi memaklumkan ia baru di peringkat semakan.
"Namun hal itu telah dibawa oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) dari sana, datang berceramah di Sabah. Padahal benda itu belum diputuskan lagi. Baru di peringkat perbincangan dan masih ada ruang untuk dibuat bantahan.
"Maka beramai-ramai, satu Malaya (Semenanjung) ini berceramah kononnya telah berlaku kenaikan cukai yang tinggi di Kedah, 245 peratus kononnya, padahal belum diputuskan lagi," ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Jelajah #Karambunai Kasijadi di Taman Sepanggar, pada malam Ahad, yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan calon PN, Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Jelas beliau lagi, perkara itu masih dalam proses bantahan oleh pemilik yang terkesan dan setakat ini hanya melibatkan satu kilang yang cadangan cukainya meningkat daripada RM400 kepada RM1,100, iaitu kira-kira 245 peratus.
"Kilangnya besar, kilang perabot. Waktu dibuka kilang itu pada tahun 90-an, dia dikenakan cukai RM400. Waktu itu, kerajaan negeri beri insentif untuk buka kilang-kilang dalam kawasan Bandar Raya Alor Setar dengan diturunkan cukai pintu RM400 supaya menjadi tarikan bagi kilang-kilang buka di Alor Setar.
"Bila dibuat taksiran semula dalam tempoh 33 tahun, maka cukai kembali kepada asal, naik RM1,100. Kalau kira sebulan, baru RM90. Itu kilang, bukan rumah. Kilang sudah untung lebih 30 tahun.
"Bila berlaku taksiran baharu, maka ada ruang untuk buat bantahan. Tetapi orang-orang politik, khususnya DAP di Kedah berkata, kononnya seluruh Kedah naik cukai 245 peratus padahal Dewan Bandaraya Alor Star sekekecil Karambunai inilah. Dewan Bandaraya Alor Setar, bukan seluruh Kedah, hanya kawasan yang ditadbir oleh MBAS," katanya.
Sehubungan itu, jelasnya, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini, Exco Kerajaan Tempatan memberi penjelasan berhubung perkara terbabit.
Katanya, penjelasan dibuat kerana kenaikan cukai belum berlaku dan ia hanya di peringkat cadangan MBAS yang sedang memohon kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan pada masa ini, MBAS membuka ruang bantahan selama 42 hari selaras Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan) sebelum rumusan dibuat.
"Lepas rumusan, MBAS akan bawa kepada Kerajaan Negeri sekali lagi. Jika diluluskan, akan diwartakan. Lepas diwartakan, barulah boleh dilaksanakan.
"Namun pemimpin-pemimpin PH, kerana tidak ada modal, telah bawa ke Sabah. Cerita itu kononnya Kerajaan Negeri telah meluluskan kenaikan cukai 245 peratus. Ini satu pembohongan," tegasnya.
Sanusi berkata, walaupun jarak jauh Sabah dengan Kedah, namun berita boleh didapati dengan mudah.
"Oleh kerana zaman sekarang ini, maka ia di 'spin' seolah-olah di bawah pemerintahan PN di Kedah berlaku kenaikan cukai besar-besaran 245 peratus.
"Oleh kerana diberi tekanan satu negara, kononnya ekonomi Kedah dah naik cukai satu negeri 245 peratus, malah dibawa ke Sabah untuk diceramah kepada orang Sabah 'Jangan undi PN, nanti cukai naik 245 peratus', padahal itu tak berlaku.
"Maka Exco yang bertanggungjawab menyebut dalam DUN, kenapa bawa isu yang belum selesai, belum ada keputusan dalam ceramah kempen politik di Sabah? Itu yang keluar roti Gardenia tu, baik bagi roti Gardenia dapat orang makan, daripada bawa berita tipu bohong," katanya.
Menurut beliau, tindakan memutarbelit isu sedemikian bukan sahaja mengelirukan, malah boleh merugikan rakyat Sabah sendiri jika membuat keputusan berdasarkan dakwaan tidak benar.
"Kalau Sabah tolak PN atas isu roti, itu satu kerugian bagi orang Sabah. Bayangkan Dr Aliakbar orang baik dalam PN. Seorang pensyarah, tuturnya lembut, tak macam saya, dia cakap lembut, saya cakap keras.
"Orang yang baik, orang akademik, sudah berpuluh tahun berkecimpung dalam kerja-kerja kebajikan membela rakyat, tiba-tiba kerana isu roti Gardenia dia tertolak. Orang Sabah rugi, kamu bukan saya," katanya.
Ringkasan AI
- Isu dakwaan kenaikan cukai pintu di Kedah yang mencapai 245 peratus digunakan dalam ceramah politik di Sabah
- Muhammad Sanusi menjelaskan isu tersebut belum diputuskan dan masih di peringkat perbincangan dengan ruang untuk bantahan
- Penjelasan dibuat bahawa penyesuaian cukai tersebut hanya melibatkan satu kilang dengan kenaikan daripada RM400 kepada RM1,100
- Kenaikan cukai ini didakwa telah meluas dan digunakan sebagai bahan kempen politik tanpa asas yang betul
- Menurut beliau, pemutarbelitan isu ini boleh merugikan rakyat Sabah jika membuat keputusan berdasarkan dakwaan tidak benar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
